Jangan fikir bukan-bukan terhadap vaksin

Kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun - Foto 123RF
Kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun - Foto 123RF
A
A
A

BERMULA Khamis ini, kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun bakal diberi vaksin jenis Pfizer.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, pendirian ibu bapa berbeza-beza. Ada yang berbelah bagi kerana khuatir kesan sampingan yang akan dihadapi terutama berkaitan radang otot jantung atau myocarditis.

Dalam satu wawancara bersama Agenda Awani, Pengerusi Program Immunise4life, Datuk Dr Zulkifli Ismail memberitahu, di Amerika Syarikat, 8.7 juta kanak-kanak sudah divaksin. Hanya 11 hingga 12 kes melibatkan kes myocarditis dan kesemuanya telah pulih. Di Singapura pula, lebih 20,000 kanak-kanak telah mendapat suntikan dengan tiada kematian dicatatkan.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi pakar itu, sebenarnya tiada apa yang perlu dibimbangkan sangat. Namun, Dr Zulkifli mengingatkan, ibu bapa yang mempunyai anak yang mempunyai alahan teruk perlu dirujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Begitu juga jika si kecil yang mempunyai penyakit ginjal atau diabetes. Kumpulan itu boleh diberi vaksin, tetapi ibu bapa dinasihatkan memberitahu butiran penyakit dan ubat yang dimakan kepada doktor. Kemudian, barulah doktor akan membuat kata putus.

Vaksin dalam kalangan kanak-kanak perlu dipandang serius. Lihat, bukan sahaja di Malaysia, malah peningkatan kes positif Covid-19 turut berlaku di beberapa buah negara di seluruh dunia.

Artikel daripada Johns Hopkins Medicine, Amerika Syarikat mendedahkan, varian Delta memainkan peranan dalam peningkatan kes positif. Virus tersebut juga boleh dihantar dengan mudah oleh kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak divaksinasi. Budak kecil terutamanya boleh mengalami komplikasi sindrom keradangan yang memerlukan penjagaan rapi atau mendapat gejala berpanjangan.

Namun, jika vaksin diambil, ia mengurangkan peluang virus untuk bermutasi kepada varian baharu yang mungkin lebih berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, kebimbangan ibu bapa difahami, tetapi diharap mereka akan lebih terbuka. Rasanya tidak perlu terlalu skeptikal atau berfikir bukan-bukan tentang vaksin.

Matlamat vaksin sebenarnya adalah demi kemaslahatan bersama.