[VIDEO] KASA terima laporan penuh kebakaran tapak pelupusan sampah

Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram terbakar membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi. - Foto Bernama
Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram terbakar membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menerima laporan penuh insiden kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini yang berlarutan sejak hampir 20 hari lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya telah memberi arahan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat pengendali tapak pelupusan sampah terbabit atas kejadian yang berlaku.

Menurutnya, syarikat tersebut sebelum ini pernah beberapa kali dikompaun malah pernah dihadapkan ke mahkamah atas kegagalan mematuhi prosedur dalam menguruskan tapak pelupusan sampah itu.

"Kita pernah keluarkan kompaun banyak kali dan sekarang syarikat itu masih berdepan dengan kes yang sedang berjalan di mahkamah.

"Kita berharap kerajaan negeri akan bertindak lebih tegas selepas ini kerana kelulusan dan kegunaan tanah ini adalah di bawah kerajaan negeri dan kita hanya memantau selain memberi syor yang sepatutnya," katanya kepada Sinar Harian ketika melawat Program Jualan Keluarga Malaysia yang diadakan Taman Bersatu, Jalan Bukit Panchor di sini pada Ahad.

Pada 17 Januari lalu, Mansor berkata, JAS sedang menyiasat sama ada punca kebakaran tersebut adalah kerana syarikat tersebut tidak mematuhi SOP yang ditetapkan atau sebaliknya.

Mansor (dua dari kanan) ketika meninjau gerai Program Jualan Keluarga Malaysia di Taman Bersatu, Bukit Panchor pada Ahad.
Mansor (dua dari kanan) ketika meninjau gerai Program Jualan Keluarga Malaysia di Taman Bersatu, Bukit Panchor pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menangani masalah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini dilapor terbakar pada kira-kira jam 5 petang, 10 Januari lalu membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi.

Pada Sabtu, kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah itu mencatatkan kualiti udara semakin buruk dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang meningkat.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati kualiti udara di tapak pelupusan sampah itu dari jam 7 pagi Sabtu, IPU menunjukkan 103 iaitu meningkat sehingga 128 pada jam 3 petang.

Stesen IPU di kawasan tapak pelupusan sampah itu dibuka khusus untuk mencerap kualiti udara ekoran kejadian kebakaran tersebut, ia juga merupakan satu-satunya stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara.