Komputer tablet buat wartawan cilik Muhammad Haziq

Muhammad Haziq menerima komputer tablet yang dikongsi menerusi hantaran Twitter Annuar. (Gambar kanan: Annuar)
Muhammad Haziq menerima komputer tablet yang dikongsi menerusi hantaran Twitter Annuar. (Gambar kanan: Annuar)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menghadiahkan komputer tablet kepada wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 11, yang tular baru-baru ini menerusi video laporannya mengenai kemunculan ular sawa di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah.

Berkongsi keterujaan menonton laporan Muhammad Haziq, Annuar dalam hantaran di Twitter pada Sabtu berkata; "Kesungguhan dan kebolehan adik Haziq perlu digalakkan jadi saya menghadiahkan sebuah gajet buat beliau. Belajar rajin-rajin!”

Menerusi hantaran sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pos Malaysia serta berkongsi beberapa gambar termasuk gambar Muhammad Haziq menerima hadiah itu daripada petugas Pos Malaysia.

Kanak-kanak lelaki itu sebelum ini tular menerusi laporan ‘lintas langsung’ kemunculan reptilia berkenaan di dalam longkang di sebuah pasar awam di Bukit Selambau dalam klip video berdurasi dua minit 47 saat yang disiarkan di laman Facebook secara langsung. - Bernama

Artikel Berkaitan: