UMNO bangkit bukan sebab ‘ubatan mujarab’ Pas

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan UMNO bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ Pas.

Sebaliknya, menurut Mohamad, ia kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO dan prestasi buruk kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Tanpa UMNO, Pas juga tidak boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan hari ini.

“Pas tahu tanpa UMNO ia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengumpamakan UMNO seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah disembuhkan mereka.

Mohamad berkata, UMNO kelihatan bersikap terbuka selepas parti itu digelarkan dengan pelbagai gelaran binatang.

“Bagi mereka yang menggelarkan UMNO dengan pelbagai gelaran seperti itik, angsa, harimau dan sebagainya, gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun.

“UMNO masih lagi parti Melayu terbesar malah parti politik terbesar di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan atas pelbagai sebab strategik dan bukan kehendak kluster tertentu dalam UMNO.

Tambahnya, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baharu dan itu bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.

“Beliau (Hasni) diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor sesuai keadaan dan keperluan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Menuduh kluster itu dan ini sebagai penyebabnya adalah sangat tidak munasabah. Untuk makluman, istilah-istilah itu hanya ciptaan musuh UMNO sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO bukan seperti parti lain kerana ia adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

“Apabila UMNO memutuskan menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma hanya 12 Ahli Parlimen UMNO sahaja yang akur. Demikianlah demokratiknya parti itu,” ujarnya.

Jelas beliau, sekiranya Pas merasakan Barisan Nasional (BN) tidak lagi relevan, maka pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya.

"Biarlah rakyat juga memutuskan sama ada Pas dan PN itu relevan lagi atau tidak,” katanya.