Sila log masuk terlebih dahulu.

Malaysia, Savola Group meterai MoU tingkat eksport minyak sawit

Gambar hiasan (Gambar kecil: Zuraida)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Zuraida)
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Savola Group dari Arab Saudi mengenai tiga bidang kerjasama untuk meningkatkan lagi eksport minyak sawit Malaysia di rantau itu, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kementerian itu berkata, antara kerjasama itu ialah pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menggunakan Arab Saudi sebagai hab eksport semula bagi minyak sawit Malaysia dan kempen bersama untuk mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia.

Ini susulan pertemuan di Jeddah antara Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Ahli Lembaga Pengarah Savola Foods, Abdullah Rehaimi serta ketua pegawai penyumberan, Penyumberan Strategik dan Pembekalan, Dr Ghazi J Al-Sulaimani.

Zuraida berkata, semasa mesyuarat itu, tiga bidang kerjasama dikenal pasti untuk memajukan lagi eksport minyak sawit Malaysia dan derivatifnya, bukan sahaja ke Arab Saudi tetapi juga di peringkat global.

Beliau berkata, pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah akan membantu mengatasi masalah logistik, denda atas kelewatan dan menunggu lama untuk penghantaran.

"Dr Ghazi mencadangkan supaya pengeksport Malaysia boleh menyimpan stok mereka di pelabuhan destinasi dan bukannya pelabuhan Malaysia kerana ini juga akan membolehkan mereka melakukan jualan ex-tank selain memenuhi keperluan peserta yang lebih kecil dalam pasaran.

"Kita menyokong idea itu, tetapi menegaskan bahawa Savola harus menjalin usaha sama dengan pembekal Malaysia kerana syarikat-syarikat Malaysia mempunyai projek serupa di Pakistan dan mereka sangat berjaya," katanya.

Zuraida berkata, pengurusan Savola bersetuju dengan cadangan berkenaan tetapi terma dan syarat usaha sama itu mesti adil dan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Mengenai bidang kerjasama menggunakan Arab Saudi sebagai hab eksport semula untuk minyak sawit Malaysia, beliau berkata ini kerana Arab Saudi berkedudukan ideal untuk memenuhi pasaran serantau di Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta rantau Afrika Utara.

"Adalah dipersetujui bahawa mempunyai hab minyak sawit di Arab Saudi bukan sahaja akan meningkatkan jumlah penggunaan minyak sawit Malaysia dengan ketara di pasaran Saudi tetapi juga akan membolehkan pengeksport Malaysia memenuhi pasaran yang lebih kecil di rantau ini.

"Abdullah (dari Savola Foods) menambah bahawa membangunkan 'Hab Makanan' juga selaras dengan Wawasan Saudi 2030 yang bertujuan untuk menyediakan jaminan makanan kepada seluruh rantau," kata Zuraidah.

Beliau menambah, sekiranya idea itu berjaya direalisasikan, potensi eksport minyak sawit Malaysia ke rantau itu dijangka meningkat tiga kali ganda.

Mengenai kempen bersama mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia, Zuraida turut memaklumkan kepada pengurusan Savola mengenai kempen anti minyak sawit tidak berasas yang diterajui oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) barat yang semata-mata dicetuskan oleh dasar perlindungan.

"Pengurusan Savola bersetuju sepenuhnya dan menambah bahawa pengaruh kempen anti minyak sawit ini akan lambat laun sampai ke rantau itu dan kita harus membangunkan imej positif minyak sawit yang kukuh dan mendidik pengguna kita tentang pelbagai manfaat kesihatannya.

"Kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan kita dalam pasaran, tetapi juga menyekat andaian negatif terhadap industri dan membantu Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran global dalam minyak sawit," katanya.

Mengenai penyertaan Majlis Getah Malaysia (MRC) dalam Pameran Kesihatan Arab di Dubai, Zuraida berkata, pengilang Malaysia yang mengambil bahagian menjangkakan jumlah jualan mencecah AS$110.46 juta (RM464 juta).

Beliau menambah, sejumlah lapan syarikat Malaysia akan menjadi sebahagian daripada pameran itu dengan peserta boleh menemui dan mendapatkan produk baharu serta berhubung dengan pembekal.

Pada 2021, eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia ke Arab Saudi berjumlah RM 1.71 bilion, iaitu 30.7 peratus lebih tinggi daripada 2020. - Bernama