20 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh didakwa

Antara peniaga yang hadir untuk berdepan tuduhan itu dan mengaku tidak bersalah.
Antara peniaga yang hadir untuk berdepan tuduhan itu dan mengaku tidak bersalah.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 20 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pasir Puteh, hari ini, atas dakwaan berniaga tanpa lesen, bulan lalu.

Peniaga berusia antara 28 hingga 60-an tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Azem Fatihi Kamal.

Mereka yang terdiri daripada 14 wanita dan enam lelaki itu didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dari pihak Majlis Daerah Pasir Puteh di Pasar Besar Pasir Puteh pada jam 10 pagi, 15 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Undang-undang Kecil 9, Undang-undang Kecil Majlis Daerah Pasir Puteh 2009 dan boleh dihukum mengikut Undang-undang Kecil 44, Undang-undang Kecil yang sama.

Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan jika kesalahan berterusan boleh didenda dua ratus ringgit setiap hari sepanjang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Nur Ainisa Arifin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding tersebut, dua peniaga turut dikenakan waran tangkap oleh mahkamah selepas gagal hadir pada sebutan kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 21 dan 22 April depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan: