Tekun Nasional tambah perkhidmatan: Noh

Noh (tengah) memotong kek ketika merasmikan pembukaan Ar Rahnu Tekun Nasional Cawangan Kuching pada Jumaat. Foto - Bernama
Noh (tengah) memotong kek ketika merasmikan pembukaan Ar Rahnu Tekun Nasional Cawangan Kuching pada Jumaat. Foto - Bernama
A
A
A

KUCHING - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional akan meluaskan perkhidmatan Ar Rahnu ke seluruh negara dengan mengutamakan kawasan strategik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya akan mengenal pasti kawasan berpotensi dan yang menjadi tumpuan ramai supaya perkhidmatan Ar Rahnu Tekun Nasional mudah dicapai oleh pelanggan.

"Saya difahamkan antara kawasan yang mencatatkan nilai gadaian tinggi adalah cawangan Shah Alam, jadi pembukaan cawangan baharu akan membuka lebih peluang kepada usahawan dan bakal usahawan untuk meningkatkan peluang pembiayaan mereka,” katanya selepas merasmikan Ar Rahnu Tekun Nasional cawangan Kuching di sini, pada Jumaat.

Ar Rahnu Tekun Nasional adalah produk pembiayaan semula gadaian patuh syariah jangka pendek di mana pelanggan atau usahawan akan mencagar barangan emas atau barang kemas mengikut jenis emas yang diterima sebagai cagaran bagi pembiayaan yang diberikan.

Kemudahan ini adalah berlandaskan kontrak syariah.

Mengulas lanjut, Noh berkata Ar Rahnu Tekun Nasional terbuka bukan sahaja kepada semua usahawan malah mereka yang bukan warganegara Malaysia.

"Yang bukan beragama Islam juga dialu-alukan untuk menggunakan Ar Rahnu ini, golongan yang tidak mempunyai perniagaan pun boleh menggunakan khidmat Ar Rahnu,” katanya.

Mengenai cawangan Ar Rahnu Tekun Nasional di sini, Noh berkata walaupun baru lima minggu beroperasi, sambutan yang diterima cawangan ke-10 itu sangat menggalakkan.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang lima minggu ini, sebanyak RM500,000 nilai gadaian telah kita uruskan melibatkan 300 pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, Ar Rahnu Tekun cawangan Kuching menyasarkan sebanyak RM4 juta nilai gadaian untuk tahun pertama pengoperasiannya.

Sehingga kini Ar Rahnu Tekun Nasional membantu menyediakan pembiayaan melalui gadaian emas dengan lebih 73,890 transaksi berjumlah RM228.7 juta dalam tempoh 2015 hingga 17 Jan, 2022.

Selain di Kuching dan Shah Alam, lapan lagi cawangan Ar Rahnu Tekun Nasional di Wangsa Maju, Sentul, Semenyih, Alor Setar, Johor Bahru, Tawau, Kota Bahru dan Tanah Merah, manakala cawangan ke-11 akan dibuka di Kuala Nerus, Terangganu, April depan.