Capital A nama baharu AirAsia

(Dari kiri) Presiden Komersial Capital A, Colin Currie; Presiden (Penerbangan)& Ketua Pegawai Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam; Fernandes; dan Presiden (Venture) Aireen Omar.
(Dari kiri) Presiden Komersial Capital A, Colin Currie; Presiden (Penerbangan)& Ketua Pegawai Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam; Fernandes; dan Presiden (Venture) Aireen Omar.
A
A
A

SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia Group Bhd (AAGB) menukar namanya kepada Capital A Berhad (Capital A atau Kumpulan) berkuat kuasa serta-merta.

Memetik laporan Astro Awani, penukaran nama itu dibuat selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diumumkan pada 3 Januari lalu dan kelulusan rasmi diterima pada Jumaat.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes pertukaran nama kepada Capital A tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi syarikat.

Beliau berkata, pertukaran nama tersebut mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi Kumpulan itu sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, yang telah pantas mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.

"Pada asasnya Capital A adalah sebuah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan yang luas yang memberikan nilai terbaik pada kos terendah, disokong oleh data kukuh yang dibina selama dua dekad.

"Kami juga merupakan salah satu jenama terkemuka di Asia, selain mempunyai budaya yang mengutamakan pelanggan dan kakitangan serta terus komited untuk berkhidmat kepada semua golongan.

"Sama seperti syarikat penerbangan kami yang menawarkan nilai dan perkhidmatan terbaik dari hari pertama ia ditubuhkan, semua bidang perniagaan kami yang berbeza akan beroperasi dengan strategi yang sama iaitu menjadikan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup mampu milik, mudah diakses dan inklusif untuk semua," katanya, di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai syarikat penerbangan, Fernandes berkata, jenama AirAsia akan kekal digunakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau menambah, melalui nama baharu itu juga ia akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk syarikat dan meningkatkan kejayaan kumpulan untuk masa depan.

Menjelang tahun 2026, Capital A antaranya menyasarkan untuk mencapai syarikat penerbangan menghubungkan lebih satu bilion orang di ASEAN.

"Dengan akses kepada lebih 700 juta orang di rantau ini, saya percaya terdapat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk jenama kami merentasi pelbagai industri berbeza dalam semua pasaran teras kami.

“Kami mempunyai 16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian.

"Daripada makanan kepada barangan runcit dan e-dagang, kepada perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, e-panggilan dan banyak lagi.

“Semua perniagaan portfolio kami dijangka akan menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di seluruh Asia Tenggara, termasuk BigPay, bahagian kejuruteraan pesawat kami iaitu Asia Digital Engineering (ADE) dan usaha logistik kami iaitu Teleport," ujarnya.

Sementara itu, Fernandes juga berharap sempadan akan dibuka semula secara beransur-ansur sepanjang 2022 dan sekali gus akan melihat kapasiti kembali seperti biasa untuk perkhidmatan antarabangsa pada pertengahan hingga suku ketiga tahun ini.

“Sejak dua tahun lalu kami telah memanfaatkan masa penggantungan penerbangan untuk membina asas kukuh untuk masa depan yang berdaya maju dan berjaya, yang tidak bergantung kepada tambang penerbangan sahaja.

“Capital A melambangkan era baharu untuk syarikat penerbangan dan semua perniagaan portfolio kami dalam pada kami memulakan fasa pertumbuhan baharu.

“Sebaik sahaja syarikat penerbangan kembali ke tahap pra-Covid dalam masa terdekat, semua barisan perniagaan lain akan mendapat manfaat yang ketara dan melonjak ke tahap baharu dengan seiring," katanya.

Capital A mempunyai 16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian.

Nama saham AirAsia di Papan utama Bursa Malaysia Securities Berhad akan ditukar berkuat kuasa serta-merta untuk mencerminkan nama syarikat baharu itu.

Sebelum ini, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata cadangan nama Capital A Bhd diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan dikhaskan kepada syarikat itu pada 28 Disember 2021.