LZS peruntuk RM7.5 juta bantu institusi agama terjejas banjir

Saipolyazan (kanan) dan Salwana (kiri) menunjukkan meja murid yang disumbangkan oleh LZS di KAFA Integrasi Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada Jumaat.
Saipolyazan (kanan) dan Salwana (kiri) menunjukkan meja murid yang disumbangkan oleh LZS di KAFA Integrasi Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta untuk membantu 150 masjid, surau dan sekolah agama di Selangor yang terjejas akibat bencana banjir pada Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan bagi membantu sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi yang terlibat dalam banjir, manakala RM4 juta untuk baik pulih masjid dan musala terjejas akibat bencana tersebut.

Menurutnya, sebanyak 76 buah masjid dan surau serta 34 sekolah agama yang mengalami kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan dikenal pasti untuk dibantu setakat ini.

"Sebanyak RM128,000 bantuan diberikan dalam bentuk perabot seperti kerusi meja guru dan murid sekolah, kabinet dan sebagainya untuk memulakan sesi persekolahan pada Mac nanti.

"Pada masa sama, ini merupakan sebahagian daripada RM3.5 juta diperuntukkan untuk membantu sekolah-sekolah KAFA yang terlibat dalam banjir ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Serahan Simbolik Bantuan Baik Pulih Institusi Agama (Pasca Banjir) di KAFA Integrasi Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, di sini pada Jumaat.

Saipolyazan (dua dari kiri) dan Salwana (tengah) memegang replika cek bantuan pasca banjir untuk institusi agama di Masjid Ar Rahmah, RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada Jumaat.
Saipolyazan (dua dari kiri) dan Salwana (tengah) memegang replika cek bantuan pasca banjir untuk institusi agama di Masjid Ar Rahmah, RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, LZS pada hari sama turut menyalurkan bantuan sebanyak RM70,000 kepada Masjid Ar Rahmah, RTB Bukit Changgang di sini untuk menggantikan karpet dan peralatan lain yang rosak di masjid tersebut.

Ujarnya, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM4 juta untuk membaik pulih institusi agama seperti masjid dan surau yang terjejas akibat banjir.

"Ini salah satu usaha LZS untuk membantu institusi agama dan kita mengharapkan mereka yang dibantu ini mendoakan LZS dan pembayar-pembayar zakat di Selangor ini untuk terus membantu bayar zakat.

"Bayaran zakat yang ditunaikan oleh mereka dapat membantu institusi agama termasuk keluarga yang terkesan akibat banjir ini," katanya.