Polis tahan empat lelaki, rampas ganja bernilai RM130,050

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai empat lelaki termasuk seorang juruteknik kilang ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja di Shah Alam dan Kuala Langat pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, kesemua individu berusia 23 hingga 43 tahun itu ditahan pada jam 6 petang dan 7.10 petang.

"Kita turut merampas dadah ganja seberat 52.02 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM130,050," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Jefferi berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya berjaya menangkap tiga lelaki di dalam sebuah rumah teres satu tingkat di Shah Alam.

"Kita turut merampas lima ketulan mampat dedaun kering dibaluti plastik lutsinar disyaki ganja anggaran berat adalah 5,100 gram" katanya.

Beliau berkata, serbuan kedua pula, pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki di kawasan parkir sebuah pasar raya di Banting.

"Hasil pemeriksaan, kita turut merampas lima ketulan mampat dedaun kering dibaluti plastik lutsinar disyaki ganja anggaran berat 5,100 gram," katanya.

Ahmad Jefferi berkata, hasil soal siasat, pihaknya menyerbu sebuah rumah setingkat di Telok Panglima Garang Banting.

Artikel Berkaitan:

"Kita merampas serbuan 41 ketulan mampat dedaun kering dibaluti plastik lutsinar disyaki dadah ganja anggaran berat 41.820 kg," katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah rumah teres setingkat, dua buah kereta jenis Proton Exora dan Iswara dan dua buah motosikal Honda RS150 dan Yamaha LC135.

"Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM854,000," katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati hanya seorang sahaja mempunyai rekod lampau iaitu Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (thc)," katanya.

Ahmad Jefferi memaklumkan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 23 Januari sehingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berlainan, seramai 753 individu telah ditangkap menerusi serbuan di 69 sarang penagih dadah melibatkan rampasan dadah bernilai RM252,801.55 sepanjang 21 Januari hingga 23 Januari lalu.