X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Penguat kuasa KKM diacu kapak ketika buat pemeriksaan

Nor Omar
A
A

MANJUNG - Akibat tidak puas hati, empat anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang menjalani pemeriksaan di sebuah pusat makanan di Kampung Koh, Sitiawan diacu dua bilah kapak dalam kejadian Selasa lalu.

Kejadian sekitar jam 9.30 malam itu membabitkan seorang peniaga yang berang selepas premisnya dikenakan notis kerana tidak mematuhi amalan kebersihan yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada pegawai operasi yang memaklumkan empat anggota mereka telah menerima ancaman ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, dalam laporan berkenaan, peniaga itu dikatakan telah mengeluarkan kata-kata kesat sambil mengacukan dua kapak terhadap anggota terlibat.

"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, polis telah pun mengenalpasti peniaga yang terlibat dan akan memanggil individu berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati, peniaga berusia 56 tahun itu merupakan pemilik premis dan kejadian itu mungkin berlaku disebabkan rasa tidak puas hati apabila kedainya dikenakan tindakan.

"Dalam pemeriksaan itu, peniaga itu didapati gagal menyediakan persekitaran premis yang bersih selain menyimpan kuku panjang dan memakai cincin," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!