Penjawat awam antara empat ditahan edar dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjawat awam antara empat individu ditahan dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah menerusi serbuan berasingan sekitar Cheras yang dijalankan pada Selasa dan Rabu.

Serbuan bermula jam 9.25 malam itu dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek pertama berusia 27 tahun diberkas di kawasan parkir kereta di salah sebuah pusat membeli-belah.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut menemukan sepaket plastik mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 1.05 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, penahanan suspek pertama membawa kepada tangkapan dua lagi suspek wanita, masing-masing berumur antara 20 dan 25 tahun di kawasan pintu masuk pusat membeli-belah berkenaan.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan terhadap suspek kedua dan ketiga tidak menemukan barang terlarang," katanya.

Menurutnya, suspek keempat berjaya ditahan pada Rabu selepas siasatan dijalankan terhadap tiga suspek terbabit.

"Suspek keempat seorang lelaki berumur 24 tahun diberkas di kawasan Batu 2, Cheras. Bagaimanapun tiada sebarang barang terlarang ditemukan ketika pemeriksaan dijalankan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Idzam lagi, keempat suspek mempunyai hubungan antara satu sama lain.

"Suspek pertama yang bekerja sebagai peladang merupakan kekasih kepada suspek kedua yang juga seorang peniaga baju, manakala suspek keempat adalah abang kandung suspek kedua.

"Suspek ketiga merupakan penganggur, manakala suspek keempat seorang penjawat awam yang kini dalam tempoh tahan kerja dan turut mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah.

"Kesemua suspek berasal dari utara tanah air dan menyewa sebuah apartment mewah di pusat bandar," katanya.

Katana, siasatan mendapati aktiviti pengedaran dadah dibuat di kawasan Kuala Lumpur menggunakan satu kenderaan yang ditahan bersama mereka.

"Kesemua suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.