'Dream Malaysia': Kolaborasi perkenal destinasi menarik

Nancy Shukri (tiga dari Kanan) pada majlis pelancaran video Dream Malaysia pada Rabu. -Foto Bernama
Nancy Shukri (tiga dari Kanan) pada majlis pelancaran video Dream Malaysia pada Rabu. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia, menjalinkan kerjasama dengan GoPro untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik di Malaysia menerusi kempen penghasilan video ‘Dream Malaysia’.

Kempen yang berlangsung dari 13 Mac hingga 28 Mac tahun lalu itu, memberi peluang kepada orang ramai mengabadikan kenangan manis mereka melawat destinasi pelancongan impian atau tempat baharu yang kurang dikenali di negara ini dengan menggunakan kamera GoPro.

Sepanjang kempen berkenaan, sebanyak 133 penyertaan diterima dan susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berharap destinasi tersebut akan dapat dipopularkan menerusi inisiatif tersebut.

"Menerusi GoPro, kita mahu memberi perspektif unik dan kandungan yang menarik untuk pengembara-pengembara di Malaysia.

"Saya harap kolaborasi kreatif ini akan membuatkan pelancong tempatan dan antarabangsa mengimbau kembali kenangan melawat tempat-tempat menarik di Malaysia yang terkenal atau kurang diketahui, kepelbagaian biodiversitinya yang mengagumkan serta hospitaliti yang tiada tolok tandingnya,” kata Nancy pada majlis pelancaran video Dream Malaysia di sini pada Rabu.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Global dan Komunikasi GoPro Rick Loughery berkata, Malaysia ialah destinasi yang menakjubkan, justeru tiada cara yang lebih baik untuk memberi inspirasi kepada orang ramai melawatnya, selain berkongsi gambar dan video tempat-tempat cantik serta kepelbagaian aktiviti.

"Kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk Kempen Dream Malaysia memberi akses langsung ke destinasi tempatan, kampung-kampung dan pengalaman yang dapat dirakamkan dari perspektif unik dan sudut yang menarik, yang hanya boleh dilakukan menggunakan GoPro.

"Kami berasa bangga dapat memberi lebih banyak pendedahan tentang keindahan negara ini dan menyemarakkan semula pengembaraan dan pelancongan ke sini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: