TFC tentukan lima tonggak utama import selepas aksi persahabatan

Nafuzi Zain
Nafuzi Zain
A
A
A

PEMILIHAN lima pemain import untuk skuad utama Terengganu FC (TFC) akan dimuktamadkan selepas selesai semua aksi persahabatan.

Ketua Jurulatih TFC Nafuzi Zain berkata, ketika ini anak buahnya giat menjalani latihan bagi meningkatkan kecergasan dan membina keserasian.

"Kita masih ada enam minggu sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula. Sekarang ini kita dalam tempoh latihan kecergasan, jadi saya tidak fokus pada siapa kesebelasan utama kerana persediaan untuk keseluruhan pasukan itu lebih penting,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Gong Badak.

Katanya, pemain import yang tidak terpilih untuk pasukan utama akan menyertai skuad Terengganu FC ll (TFC ll).

TFC Sdn Bhd telah menandatangani kontrak dengan lapan pemain import untuk diserap ke kedua-dua pasukan di bawahnya bagi mengharungi Liga M yang bermula awal Mac ini.

Tiga pemain import yang dikekalkan daripada musim lepas ialah Argzim Redzovic, Habib Haroon dan Jordan Mintah, manakala muka baharu yang ditampilkan ialah Kipre Tchetche, yang pernah menyarung jersi skuad Penyu pada 2018, selain Kpah Sherman, Pape Diakite, Luke Woodland dan Manuel Ott.

Nafuzi berkata, setakat ini TFC telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di laman sendiri dengan pasukan Kelantan United dan pasukan dari Liga M3.

"Dengan aksi kompetitif iaitu kejohanan empat penjuru bermula 5 hingga 9 Feb di Kuala Terengganu dan bakal berkampung pula di Kuala Lumpur untuk tiga lagi aksi pemanas badan, kita yakin dapat membina gandingan atau gabungan yang mantap.

Artikel Berkaitan:

"Persiapan kita setakat ini berjalan lancar kerana semua pemain import juga telah tiba dan menunjukkan prestasi yang baik," tambahnya.

TFC akan memulakan saingan pertama Liga Super dengan pasukan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 Mac ini. - Bernama