X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Rajagobal mahu berehat seketika

K Rajagobal
A
A

DATUK K Rajagobal masih belum ada sebarang perancangan khusus mengenai masa depannya selepas melepaskan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan Brunei.

Menurut Rajagobal, masih terlalu awal untuk beliau membuat apa-apa keputusan tentang hala tuju baharunya memandangkan banyak perkara perlu diambil kira ketika ini.“Saya akan fikir dulu mengenai masa depan saya sebagai jurulatih. Saya tidak mahu buat keputusan terlalu cepat kerana saya baru saja melepaskan jawatan sebagai jurulatih Brunei.

“Banyak perkara perlu diambil kira sebelum saya buat sesuatu keputusan yang terbaik untuk saya. Buat masa ini, saya mahu berehat seketika,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sudah mencapai persetujuan bersama Rajagobal untuk menamatkan kontraknya yang masih berbaki setahun.

FABD memaklumkan, krisis pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu menjadi faktor utama keputusan itu diambil.

“Ia adalah keputusan yang sukar buat FABD. Ini kerana Datuk K Rajagobal telah berkhidmat dan menggalas tugas dengan cemerlang sejak Februari tahun lalu.

“FABD menzahirkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih di atas perkhidmatannya yang berjaya memberi impak yang positif dalam pembangunan bola sepak Brunei,” kata badan induk itu.

Rajagobal yang dilantik sebagai jurulatih Brunei menggantikan Paul Smalley pada Mei 2020, tidak pernah mengemudi pasukan tersebut dalam mana-mana perlawanan kompetitif.

Beliau yang sepatutnya mengemudi Brunei untuk aksi kelayakan Piala Suzuki AFF 2020 menentang Timor Leste pada Disember tahun lalu tidak dapat berbuat demikian gara-gara pasukan itu menarik diri akibat Covid-19.

Rajagobal dianggap antara jurulatih berkaliber di Malaysia apabila membantu Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 selain menerajui skuad B-23 memenangi pingat emas Sukan SEA 2009.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!