Malaysia terima satu juta dos vaksin Sinopharm dari UAE

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin Sinopharm di KLIA. -Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin Sinopharm di KLIA. -Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Malaysia akan menerima sumbangan satu juta dos vaksin Covid-19 jenis Sinopharm dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kumpulan pertama 500,000 dos tiba hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata bantuan dari UAE itu akan melengkapkan usaha Malaysia dalam menangani pandemik Covid-19 selain menandakan hubungan diplomatik penting antara kedua-dua negara.

"...kami ingin berterima kasih kepada kedutaan UAE dalam memudahkan dan menyelaras penghantaran sumbangan vaksin Covid-19 (Sinopharm).

"Semoga hubungan sebagai dua negara bersaudara kekal kukuh untuk kerjasama masa hadapan dan manfaat ummah keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan vaksin itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Selasa.

Turut hadir Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE di Kuala Lumpur Nour Ibrahim Ali Rashed AlKuwaiti, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) Harjeet Singh serta pegawai kanan dari Kementerian Luar dan KKM.

Sementara itu, mengenai sumbangan vaksin, Nour berkata baki 500,000 dos vaksin Sinopharm akan diserahkan kepada Malaysia dalam masa dua minggu.

Beliau berkata sejak bermulanya pandemik, UAE sentiasa memandang Malaysia sebagai rakan karib dan sekutu selain memberi banyak sumbangan untuk menyokong negara dalam melawan virus Covid-19.

"Dengan sumbangan ini, UAE berdoa agar pandemik ini segera berakhir dan berharap sumbangan ini akan terus menyokong Malaysia dalam memerangi virus Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada vaksin Sinopharm akan diberi sebagai suntikan penggalak, Harjeet berkata Kumpulan Kerja Teknikal bagi Vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan akan memutuskan perkara itu.

"Yang ini akan ditentukan oleh jawatankuasa teknikal di peringkat Kementerian (Kesihatan), tapi sementara kita dah dapat (vaksin Sinopharm) ini jadi jawatankuasa teknikal itu akan perakukan dahulu kepada pihak kementerian, jadi kita kena tunggu,” katanya.

UAE sebelum ini telah memberi bantuan Covid-19 kepada Malaysia seperti menyumbang 20,000 unit kit ujian PCR pada Mac 2020 dan tujuh tan pensanitasi tangan yang dibuat khusus untuk Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) Wisma Putra pada Mei 2020. - Bernama