Salji tebal landa timur Meditteranean

Suhu dilaporkan menjunam sehingga -14 darjah celsius selepas tengah Athens dilanda salji pertama musim sejuk. - Foto: AFP
Suhu dilaporkan menjunam sehingga -14 darjah celsius selepas tengah Athens dilanda salji pertama musim sejuk. - Foto: AFP
A
A
A

ATHENS - Salji tebal menyelubungi sebahagian besar kawasan timur Meditteranean di Greece pada Isnin hingga memaksa penutupan sekolah dan pusat vaksinasi Covid-19 selain mengakibatkan bekalan kuasa elektrik terputus di perkampungan yang terletak di kawasan pergunungan di Andros, Naxos dan Tinos.

Selain itu, salji tebal turut meliputi kawasan tepi pantai tumpuan pelancong di Mykonos dan kawasan Pulau Evia yang dijilat api ketika kebakaran hutan pada musim panas lalu.

Suhu dilaporkan menjunam sehingga -14 darjah celsius selepas tengah Athens dilanda salji pertama musim sejuk.

Salji luar biasa itu turut menyebabkan akses ke lapangan terbang terjejas walaupun operasi perkhidmatan udara dan laut tidak terkesan.

“Kita berdepan cuaca yang sangat ekstrem,” kata Profesor Fizik Atmosfera, Christos Zerefos.

Sementara itu, jurucakap pemerintah memaklumkan usaha untuk memastikan rangkaian jalan raya tidak berdepan sebarang halangan turut giat dilakukan.

Pengguna lalu lintas terkandas di jalan utama akibat salji tebal di Istanbul. - Foto: AFP
Pengguna lalu lintas terkandas di jalan utama akibat salji tebal di Istanbul. - Foto: AFP

Pengarah Penyelidikan di National Observatory of Athens, Costas Lagouvardos memberitahu, ibu kota Athens tidak pernah berdepan cuaca seperti itu ketika musim sejuk sejak tahun 1968.Di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul ditutup setelah bumbung salah sebuah terminal kargo dilaporkan runtuh akibat salji tebal yang kini melanda tenggara Eropah.

Artikel Berkaitan:

Penutupan sementara itu sekali gus menyebabkan jadual penerbangan dari Asia Barat dan Afrika ke Eropah dan Asia terpaksa digantung.

Selain itu, beberapa insiden kenderaan terbabas akibat permukaan jalan licin dan bersalji juga dilaporkan hingga menyebabkan pejabat gabenor Istanbul memberi amaran supaya tidak memasuki bandar itu dari Thrace, sebuah wilayah merentasi bahagian Eropah di Turki yang bahagian baratnya bersempadan dengan Bulgaria dan Greece.

Ribut salji menghalang laluan merentasi tengah dan tenggara Ankara itu juga memburukkan lagi situasi dihadapi hampir tiga juta pelarian Syria yang hidup sengsara dengan suhu sejuk melampau di bawah khemah sementara didiami golongan tersebut di utara Damsyik.

“Mereka sedang berdepan zon bencana sebenar. Tiada orang sepatutnya terpaksa menghadapi cuaca buruk seperti ini. Keadaan golongan itu sememangnya membimbangkan,” kata Timbalan Penyelaras Serantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Krisis Syria, Mark Cutts. - AFP

Khemah sementara pelarian Syria roboh akibat salji tebal yang melanda bandar Rajo di wilayah Aleppo. - Foto: AFP
Khemah sementara pelarian Syria roboh akibat salji tebal yang melanda bandar Rajo di wilayah Aleppo. - Foto: AFP