Polis London siasat parti sosial ketika lockdown

Parti kejutan sempena hari lahir Johnson didakwa dirancang isterinya, Carrie ketika lockdown pertama pada Jun 2020. - Foto: Agensi
Parti kejutan sempena hari lahir Johnson didakwa dirancang isterinya, Carrie ketika lockdown pertama pada Jun 2020. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Ketua polis London pada Selasa memaklumkan pihaknya telah melancarkan siasatan ke atas beberapa parti sosial yang diadakan di institusi kerajaan ketika lockdown dikuatkuasakan.

"Kami akan menyiasat beberapa majlis sosial di Downing Street dan Whitehall dalam tempoh dua tahun lalu yang dilihat berpotensi melanggar peraturan kesihatan Covid-19," kata Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Cressida Dick pada Selasa.

Siasatan itu dilancarkan selepas imej Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sekali lagi tercalar apabila beliau didakwa mengadakan parti hari lahir ketika pelaksanaan lockdown pertama pada Jun 2020 yang melarang sebarang aktiviti sosial secara tertutup.

Skandal parti sosial terbaharu itu didedahkan ITV News pada Isnin sekali gus meningkatkan tekanan terhadap bekas Datuk Bandar London tersebut yang berdepan desakan untuk meletak jawatan kerana melanggar peraturan Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya.

ITV News turut mendedahkan, isterinya, Carrie terlibat membuat parti kejutan kepada beliau yang dihadiri kira-kira 30 individu termasuk pereka hiasan dalaman, Lulu Lytle yang sedang mengubah suai kediaman perdana menteri.

Pejabat No 10 Downing Street bagaimanapun cuba untuk melindungi beliau apabila menyatakan acara itu hanya melibatkan sekumpulan staf yang berkumpul di Bilik Kabinet selepas sesi mesyuarat untuk memberi ucapan ulang tahun kelahiran kepada Johnson.

"Beliau menyertai acara itu kurang daripada tempoh 10 minit," jelas pejabatnya setelah membuat penafian sama berhubung skandal parti sosial sama sebelum ini. - AFP

Artikel Berkaitan: