Pemilu Indonesia pada Februari 2024

Petugas menyertai latihan membuang undi menjelang Pemilu 2024 di Pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) di Medan, wilayah Sumatera Utara pada bulan lalu. - Foto Agensi
Petugas menyertai latihan membuang undi menjelang Pemilu 2024 di Pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) di Medan, wilayah Sumatera Utara pada bulan lalu. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Indonesia akan mengadakan Pemilihan Umum (Pemilu) pada 14 Februari 2024.

Pengumuman itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian pada lewat Isnin selepas tarikh yang dipilih jawatankuasa pilihan raya tersebut mendapat lampu hijau daripada Parlimen.

Difahamkan, Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) juga akan diadakan pada 27 November pada tahun sama.

Sehingga kini, tiada calon yang tampil secara terbuka menyatakan hasrat mereka untuk menggantikan Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Bagaimanapun, tinjauan baru-baru ini menunjukkan Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan Gabenor Jakarta, Anies Baswedan mungkin bakal menjadi calon pilihan dek kerana populariti mereka yang semakin meningkat.

Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) di bawah Parti Gerindra dan tewas sebanyak dua kali kepada Jokowi juga belum menyuarakan hasrat untuk kembali merebut jawatan tertinggi tersebut.

Calon berpotensi lain yang mendapat perhatian rangkaian media tempatan termasuk Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, Speaker Parlimen, Maharani yang juga anak kepada bekas Presiden Megawati Soekarnoputri, Menteri Pelancongan, Sandiaga Uno dan Menteri Perusahaan Negara, Erick Thohir yang memainkan peranan penting ketika kempen pilihan raya Jokowi sebelum ini.

Keputusan kaji selidik oleh Charta Politika pada Disember lalu menunjukkan Ganjar mendahului dengan 28.2 peratus disusuli Prabowo (23.8 peratus), Anies (19.6 peatus) manakala Ridwan dan Sandiaga masing-masing meraih 5.8 peratus sokongan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Bahlil Lahadalia berkata, sebahagian besar komuniti perniagaan berharap proses pemilihan itu ditangguhkan untuk meminimumkan gangguan politik dan membantu momentum pertumbuhan ekonomi yang stabil.

"Golongan itu baru sahaja pulih daripada krisis kesihatan. Oleh itu, kemungkinan berlaku ketidakstabilan politik bukan perkara yang baik buat masa ini," katanya ketika membentangkan kaji selidik tentang pilihan raya yang dilakukan Indikator Politik pada awal bulan lalu. - Agensi