LTdL 2022: PKBM jumpa KBS esok

Gambar Hiasan - (Gambar kecil: Abu Samah)
Gambar Hiasan - (Gambar kecil: Abu Samah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepimpinan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Rabu, untuk membincangkan mengenai penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada pihak kementerian semalam untuk bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, Abu Samah enggan berkongsi lanjut mengenai perkara yang akan dibincangkan itu.

"Buat masa sekarang saya tak boleh nak komen, kena tunggu hasil pertemuan esok," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ahad lepas, PKBM meminta KBS mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikan isu yang timbul berhubung penganjuran jelajah berkenaan, selain mendakwa syarikat yang diberikan kontrak penganjuran cuba menukar tarikh perlumbaan tanpa pengetahuan badan induk itu.

KBS pada Isnin mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima permohonan rasmi daripada syarikat penganjur, Human Voyage untuk menunda perlumbaan itu yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 10 Mac kepada 18 hingga 26 Jun depan.

Sehubungan itu, KBS menjadualkan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 pada 27 Januari untuk membincangkan perkara tersebut bersama-sama PKBM dan Human Voyage. - Bernama

Artikel Berkaitan: