'RM30 boleh dapat 10 buah buku'

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat al-Quran yang ada dijual di Jualan Gudang Karangkraf.
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat al-Quran yang ada dijual di Jualan Gudang Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai mengambil peluang dengan 'memborong' pelbagai jenis buku di Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang kini memasuki hari kelima.

Buku-buku ini boleh didapati dengan tawaran harga yang murah dan berpatutan sempena jualan gudang di samping terdapat barang-barang lain yang boleh didapati oleh pengunjung.

Pelajar, Adriana Maisarah Zakaria, 20, berkata, dia pertama kali hadir ke jualan ini dan mengetahuinya menerusi media sosial TikTok.

Adriana Maisarah Zakaria
Adriana Maisarah Zakaria

Penggemar novel ini berkata, berbanding jualan buku di luar, harga jualan yang ditawarkan di sini jauh lebih murah dan ada pelbagai jenis buku.

"Kebiasaannya, sebuah novel berharga RM30 tetapi jika kita membeli di Jualan Gudang Karangkraf, harga RM30 itu kita boleh dapat 10 buah buku," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Dia berkata, dari segi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan juga adalah baik dan senang untuk pengunjung sepertinya mencari serta membeli buku.

Seorang lagi pelajar, Badrina Badrun, 20, pula berkata, kebanyakan buku yang 'diborongnya' adalah novel.

Artikel Berkaitan:

Badrina Badrun
Badrina Badrun

"Harga yang ditawarkan di sini jauh lebih murah berbanding di luar, untuk 10 buah buku saya hanya perlu membayar RM30.

"Kalau di luar, dari segi harga dan kuantiti seperti ini ia sukar untuk diperoleh kerana untuk sebuah buku sahaja boleh mencecah RM32," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Kamarudin, 59, berkata, setiap kali Karangkraf mengadakan jualan gudang, dia tidak melepaskan peluang untuk menghadirinya.

Ahmad Fauzi Kamarudin
Ahmad Fauzi Kamarudin

"Setiap kali ada jualan borong, setiap tahun saya akan datang. Untuk tahun ini, saya lihat banyak ditawarkan buku-buku novel," katanya yang ingin mencari buku-buku berbentuk akademik dan motivasi.

Pesara kerajaan itu berkata, dari segi harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah dan berpatutan berbanding jika membeli buku di luar.

"Jualan gudang ini merupakan peluang terbaik terutamanya warga sekitar Shah Alam untuk datang bagi memilih buku-buku yang ditawarkan.

"Ini juga satu galakan agar orang ramai lebih banyak membaca. Mungkin sekarang ini ramai yang membaca dalam talian tetapi ada juga sesetengah orang yang suka membaca dalam bentuk teks kerana mudah dibaca dan menjaga mata," ujarnya yang dalam masa sama turut memuji SOP yang disediakan kepada pengunjung.

Pengunjung melihat buku-buku yang dijual di Jualan Gudang Karangkraf 2022.
Pengunjung melihat buku-buku yang dijual di Jualan Gudang Karangkraf 2022.

Bagi Ahmad Izzat Kusni, 30, ini merupakan pertama kali dia menghadiri jualan gudang dan SOP yang disediakan juga amat baik.

"SOP saya lihat amat baik dan semua orang memakai pelitup muka.

"Penjarakan juga dijaga di samping senang untuk meletak kenderaan," katanya yang mahu mencari buku-buku agama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Izzat Izhar Nasir berkata, sambutan jualan gudang pada kali ini amat menggalakkan.

"Ramai pengunjung yang datang dari Selangor dan ada yang paling jauh datang dari Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, Jualan Gudang Karangkraf juga mengutamakan aspek SOP di samping sanitasi juga dibuat secara berkala.

"Kita pastikan jumlah pengunjung di dalam premis kita pada satu-satu masa dihadkan supaya pembeli boleh menjaga SOP, menjaga penjarakan antara satu sama lain dan memberi keselesaan untuk membeli-belah. Di samping itu kita juga menyediakan 'hand sanitizer' (cecair pensanitasi tangan)," katanya.

Menurutnya, pelbagai jenis promosi ditawarkan dan pengunjung juga boleh memperoleh 10 buah buku dengan harga RM30.

Selain buku-buku, rehal iaitu tempat meletakkan al-Quran juga ada dijual semasa Jualan Gudang Karangkraf 2022.
Selain buku-buku, rehal iaitu tempat meletakkan al-Quran juga ada dijual semasa Jualan Gudang Karangkraf 2022.

"Kita juga membenarkan mereka mencampur buku umum dan buku agama," katanya.

Beliau berkata, uniknya jualan gudang pada kali ini adalah terdapat juga jualan rehal iaitu tempat meletak al-Quran dan sejadah.

"Untuk kanak-kanak, kita juga ada menjual komik untuk mereka," ujarnya.

Jualan Gudang Karangkraf 2022 berlangsung selama 10 hari bermula 21 hingga 30 Januari ini.

Waktu operasi bermula pada jam 9 pagi hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad pula dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Jualan Gudang Karangkraf 2022 mematuhi SOP yang ditetapkan.
Jualan Gudang Karangkraf 2022 mematuhi SOP yang ditetapkan.