Exco dedah punca banjir kilat di Taman Sri Muda

Ganabatirau turun padang untuk melihat keadaan banjir kilat di Jalan Tokoh 25/28 Taman Sri Muda pada Isnin.
Ganabatirau turun padang untuk melihat keadaan banjir kilat di Jalan Tokoh 25/28 Taman Sri Muda pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat membuang sisa domestik ke longkang hingga saliran air tersumbat antara punca berlakunya banjir kilat di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau berkata, setakat ini tiada cara lain ​bagi mengurangkan risiko tersebut melainkan ​dengan ​operasi pembersihan.

Beliau mengakui pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) bertanggungjawab dalam hal itu namun kerjasama penduduk begitu diperlukan agar masalah longkang tersumbat dapat diatasi.

"Saya juga kesal kerana nampak tidak ada semangat kejiranan di beberapa taman di kawasan Taman Sri Muda dalam hal ini, keadaan ini tidak sama seperti di Kampung Bukit Lanchong, mereka bekerjasama dalam hal kebersihan.

"Memanglah tugas MBSA dan juga KDEBWM, namun begitu sebagai masyarakat prihatin, masyarakat dalam kejiranan, kita perlu membersihkan sampah di kawasan kita, di tempat sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Ganabathirau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning turun padang untuk melihat keadaan banjir kilat di Jalan Tokoh 25/28 Taman Sri Muda, di Seksyen 25 di sini selepas menerima aduan.

Mengulas lanjut Ganabathirau berkata, kebanyakan sampah dibuang ke longkang bukan sahaja dari kediaman penduduk, malah membabitkan peniaga tepi jalan di sepanjang laluan masuk ke taman-taman perumahan berkenaan.

“Kita sudah melakukan apa yang termampu dan kerjasama penduduk serta peniaga begitu diperlukan bagi memastikan tiada sisa sampah dibuang ke dalam longkang sekali gus mampu menyebabkan banjir kilat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim ketika dihubungi juga mengesahkan banjir kilat berlaku kerana aliran air longkang tersekat.

Izham
Izham

"Pam dan pintu air semua berfungsi dengan baik cuma air di beberapa longkang kecil tersekat aliran oleh sampah.

"Saya dah minta MBSA dan KDEBWM supaya tingkatkan pembersihan longkang-longkang di kawasan terbabit," katanya.