Indeks Persepsi Rasuah 2021: Malaysia jatuh ke tangga 62

Muhammad Mohan
Muhammad Mohan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI) terus jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, CPI Malaysia pada 2020 juga jatuh enam anak tangga daripada kedudukan 51 pada 2019.

"Kedudukan CPI 2021 yang merosot lima anak tangga dipengaruhi skor yang dicatatkan menurun kepada 48 daripada 100 berbanding 51 yang direkodkan pada 2020.

"Skor yang dilaporkan pada 2019 adalah 53, jadi skor CPI negara merosot sebanyak lima poin dalam tempoh tiga tahun dan kerajaan perlu meneliti perkara ini dengan serius," katanya ketika membentangkan keputusan CPI 2021 secara maya pada Selasa.

Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan, lebih bersih sesebuah negara daripada rasuah manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku.

Mengulas lanjut, Muhammad memberitahu, daripada analisis skor daripada 2012 sejak kaedah penilaian disemak semula hingga 2021, didadapati berlaku trend penurunan yang merudum.

"Pada 2014, skor CPI naik kepada 52 daripada 100 ketika negara berdepan dengan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum jatuh ke angka 47 pada 2018 semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan melonjak ke 53 pada 2019 semasa Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dilancarkan.

"Bagaimanapun, skor kembali menurun kepada 51 pada 2020 yang dipengaruhi faktor perubahan kerajaan dan terus merudum kepada 48 pada tahun lalu juga disebabkan perubahan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Muhammad, 10 negara yang menduduki kedudukan teratas dalam CPI adalah Denmark dengan skor 88, Finland (88), New Zealand (88), Norway (85), Singapura (85) dan Sweden (85), Switzerland (84), Belanda (82), Luxembourg (81) dan Jerman (80) manakala tiga negara tercorot adalah Sudan Selatan (11), Syria (13) dan Somalia (13).

"Di antara negara Asean dalam CPI 2021, Malaysia kekal berada di tangga ketiga selepas Singapura dan Brunei seperti pada 2020.

"Di peringkat negara Islam pula, Malaysia juga kekal berada di kedudukan keenam seperti tahun 2020. Lima negara teratas adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Brunei, Oman dan Arab Saudi," jelasnya.