PH dijangka tamatkan rundingan kerusi esok

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rundingan agihan kerusi melibatkan tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka ditamatkan pada Rabu.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kekosongan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika bersama PH Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menjadi perkara utama perundingan yang perlu diselesaikan.

Menurutnya, baki 18 kerusi itu juga dijangka turut diagihkan kepada beberapa parti lain yang akan bekerjasama dengan PH dalam menghadapi PRN tersebut melibatkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan).

"Pada PRU14 lalu, Bersatu bertanding 18 kerusi DUN Johor dan menang lapan kerusi manakala Amanah tanding 12 kerusi dan menang sembilan kerusi sementara PKR bertanding 12 kerusi dan menang lima kerusi.

"Formula PH Johor mudah sahaja, kekalkan parti yang menang pada PRU14 di kerusi yang akan ditandingi pada PRN kali ini dengan syarat letakkan calon yang boleh menang tetapi untuk 18 kerusi ditinggalkan Bersatu ini, ia perlu diselesaikan secara 'keluarga' dalam PH Johor.

"Amanah, PKR dan DAP sudah adakan mesyuarat dan perundingan antara parti sedang berjalan. Dijangkakan esok akan selesai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Dzulkefly, penglibatan Muda, Pejuang dan Warisan juga dilihat penting pada PRN Johor kali ini bagi membentuk sebuah kerjasama yang kukuh untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri itu.

"Parti pembangkang kena jadi blok yang kuat, tidak semestinya jadi komponen PH tetapi perlu bekerjasama supaya tidak berlaku pertembungan yang akhirnya rugikan PH.

Artikel Berkaitan:

"Justeru itu, PH Johor akan berbincang dan memperhalusi kerusi yang akan diberikan kepada Muda, Pejuang dan Warisan," katanya.