Isteri sebak terima ijazah arwah suami

Nur Hidayu bersama skrol Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang diterima bagi pihak Allahyarham suaminya, Mohd Huzir.
Nur Hidayu bersama skrol Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang diterima bagi pihak Allahyarham suaminya, Mohd Huzir.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang isteri tidak dapat menahan air mata ketika menaiki pentas menerima skrol ijazah sarjana mewakili Allahyarham suaminya pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12.

Suasana bertukar pilu apabila Nor Hidayu Abd Wahab, 30, menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bagi pihak Allahyarham Mohd Huzir Mohamed, 35, yang disampaikan oleh Pro-Canselor UniSZA, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Mohamed Nor.

Nor Hidayu berkata, suaminya yang berkhidmat di Jabatan Kehakiman Syariah meninggal dunia kerana serangan jantung ketika berada di rumah di Kampung Ladang, Kuala Terengganu pada 18 Ogos lalu.

"Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja manakala arwah bekerja dari rumah. Sekitar jam 2 petang ada kawan hubungi saya beritahu tidak dapat hubungi arwah, saya rasa tidak sedap hati dan terus pulang.

"Sampai di rumah, bila buka pintu saya nampak arwah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang datang selepas itu," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Lebih memilukan, Mohd Huzir meninggal dunia pada hari ulang tahun ketiga perkahwinan mereka.

Menurut Nor Hidayu, pada awal perkahwinan, Allahyarham suaminya sudah memberitahu mahu menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di UniSZA.

Dia yang bekerja sebagai Pembantu Optometrist di bandar Kuala Terengganu berkata, Allahyarham juga ada menyampaikan hasrat untuk terus belajar ke peringkat doktor falsafah sebelum mencapai usia 40 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Tapi apakan daya, arwah pergi dahulu. Walaupun sedih suami tidak dapat mengambil sendiri skrol ini tapi saya bangga kerana arwah berjaya menamatkan ijazah sarjana yang merupakan impiannya," katanya.

Pada majlis konvokesyen UniSZA kali ke-12, seramai 3,345 graduan UniSZA menerima ijazah masing-masing selama lima hari bermula Ahad.