X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Zii Jia merayu kepada BAM terhadap penggantungan dua tahun

Zii Jia
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia telah merayu kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung keputusan Majlis BAM menggantung beliau daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa.

BAM menerusi satu kenyataan berkata, rayuan Zii Jia itu diterima pihaknya pada Isnin dan sebagai badan yang menjaga kepentingan sukan badminton negara ia sedang meneliti perkara itu yang memerlukan tindakan segera bagi mencari penyelesaian secara berbaik-baik selepas Juara All England 2021 itu memutuskan untuk meninggalkan BAM sebelum tiba masanya.

Badan pentadbir badminton negara itu berkata, keputusan untuk tidak mendaftarkan pemain nombor tujuh dunia itu untuk kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari lalu memberikan kesan mendalam bukan hanya kepada fraterniti sukan badminton tetapi juga kepada rakyat Malaysia.

"Kami menyedari sepenuhnya kemarahan dan kekecewaan yang dicurahkan dan kami memahami sepenuhnya kekecewaan yang dinyatakan terhadap BAM. Keadaan ini adalah amat mencabar dan mendapat perhatian daripada semua pihak, ahli politik dan pemain antarabangsa.

"Kami menghargai semua ulasan, kritikan dan keseluruhan maklum balas ditujukan kepada kami. Kami mengambil maklum sentimen penuh semangat yang diutarakan rakyat Malaysia. BAM di sini untuk melindungi bukan sahaja sukan itu tetapi pemain, nilai dan standard yang terbaik untuk mewakili negara tercinta.

"Tindakan Majlis BAM adalah berdasarkan prosedur rasmi dengan maklumat yang dikemukakan kepada mereka. Bagaimanapun, adalah penting untuk diingatkan keputusan itu masih lagi boleh dirayu,” kata BAM.

Rabu lalu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia menyerahkan surat peletakan jawatan meninggalkan BAM pada 11 Januari lalu untuk menjadi pemain profesional dengan alasan beliau tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup dengan disiplin yang ketat dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kemudian Majlis BAM mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan bekas Juara Remaja Dunia, Goh Jin Wei yang membuat pusingan U segera untuk menjadi pemain profesional selepas bersara daripada pasukan kebangsaan atas alasan faktor kesihatan, untuk mana-mana kejohanan dalam tempoh dua tahun. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!