Lapan individu dipanggil beri keterangan ceramah berkait himpunan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini bagi memberi keterangan berhubung penglibatan ceramah berkait himpunan #TangkapAzamBaki, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua mereka antara dipanggil bagi membantu siasatan susulan program ceramah yang diadakan sehari sebelum himpunan terbabit dianjurkan pada Sabtu.

"Polis menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Amihizam berkata, sehubungan itu akan ada beberapa lagi individu lain dipanggil selepas ini untuk membantu siasatan.

Antara yang hadir pada petang Isnin termasuk aktivis Adam Adli Abdul Halim; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dr Thanussha Francis Xavier.

Selain itu, turut hadir Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Zubair Rahim dan Pengarah Strategik Pemuda Amanah, Asmaalif Abdul Adam.

Sebelum itu, kesemua yang hadir memberi keterangan pada jam 2.10 petang dengan diwakili peguam masing-masing serta dilihat meninggalkan IPD berkenaan pada 4.15 petang.

Sabtu lalu, media melaporkan polis memeriksa butiran diri kira-kira 40 individu termasuk 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki anjuran Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini.

Artikel Berkaitan:

Hasil siasatan awal polis mendapati kesemua individu terbabit dipercayai berhimpun kira-kira jam 9 malam pada Jumaat bagi mengajak orang ramai untuk turut hadir pada perhimpunan berkenaan yang dijadualkan diadakan berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar. - Bernama