PRN Johor: Pembangkang perlu berada dalam satu blok

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua parti pembangkang yang mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berada dalam satu blok bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru atau lebih.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, jika semua parti pembangkang dapat bergabung dalam satu blok ia akan mengurangkan pertembungan dan hanya melibatkan pembangkang, Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata, kesepakatan itu amat diperlukan kerana pertembungan antara parti pembangkang merugikan malah berkemungkinan peluang untuk menang tipis.

"Kita ada bincangkan perkara ini antara Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Kita terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti pembangkang di luar Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama dalam satu blok.

"Ini termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sekiranya mahu bersama-sama dalam satu blok.

"Kita tidak mahu pembangkang bertembung sesama sendiri. Pembangkang perlukan satu 'grand coalation' di bawah satu khemah yang besar. Mungkin kita boleh namakan PH Plus atau sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, DUN Johor dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN Johor diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pada Isnin, SPR memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRN terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tarikh penting itu melibatkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pelawaan untuk parti pembangkang di luar PH bukan bermakna mereka perlu bergabung dan menjadi parti komponen PH tetapi lebih kepada persefahaman politik untuk menghadapi PRN Johor.

Jelas bekas Exco Johor itu, persefahaman politik itu penting terutama melibatkan kerusi-kerusi yang berpotensi untuk menang sekali gus tidak mengulangi kesilapan semasa PRN Melaka.

Ditanya sama ada blok yang mahu menghimpunkan semua parti pembangkang itu akan turut mempelawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau berkata, pihaknya terbuka dalam perkara itu dan ia boleh dibincangkan.

"Kita boleh berbincang dan bawa perkara ini kepada Majlis Presiden PH. Mungkin akan timbul isu pengkhianatan mereka sebelum ini sehingga kerajaan PH hanya bertahan 22 bulan, tetapi itu semua terpulang kepada Majlis Pimpinan PH untuk memutuskannya," ujarnya.