'Malaysia boleh promosi drama pendek di luar negara'

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Malaysia bercadang memulakan program perintis pelaksanaan diplomasi kebudayaan di beberapa kedutaan luar negara bermula pertengahan tahun ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penganjuran festival mini filem dan dokumentari itu sebagai usaha mempromosi budaya Malaysia dengan peruntukan yang kecil.

"Kedutaan Malaysia di luar negara boleh memulakan penganjuran festival mini kerana kita banyak filem pendek yang bagus," katanya ketika sidang akhbar di pejabat Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) di sini pada Isnin.

Beliau menjelaskan perincian kandungan diplomasi kebudayaan juga akan dilaksanakan dengan kerjasama MOTAC, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Justeru katanya, Kementerian Luar kini sedang mendapatkan pandangan daripada pihak berkaitan berhubung projek diplomasi kebudayaan yang sedang dirangka itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga memaklumkan akan mewujudkan jawatan atase bagi melaksanakan diplomasi kebudayaan di luar negara tahun depan.

Menurutnya, lantikan tersebut bukan melalui kementeriannya sebaliknya menerusi agensi kerajaan yang berkaitan.

"Perbincangan awal dan antara lain menyentuh jawatan atase kebudayaan diwujudkan di luar negara. Atase kebudayaan ini tentunya bukan dari Kementerian Luar tetapi melibatkan agensi lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai langkah diambil oleh Pejabat Parlimen Indera Mahkota untuk merancakkan semula destinasi pelancongan di Cherating, Saifuddin berkata, kerjasama dengan Pejabat MOTAC Pahang telah diadakan untuk menjalankan promosi di kawasan itu.

"Cherating suatu ketika dulu amat dikenali kerana pelbagai keindahan dan tarikan antaranya aktiviti air, santuari penyu, pusat anyaman dan inap desa. Jadi kita mahu kembalikan Cherating sebagai destinasi pelancongan popular semula," ujarnya.