UMK salur RM10 juta bantu penuntut asnaf, B40

UMK menerima sumbangan daripada pelbagai pihak bernilai lebih RM10 juta yang diagihkan kepada penuntut asnaf dan B40 sepanjang tahun lalu. - Foto UMK
UMK menerima sumbangan daripada pelbagai pihak bernilai lebih RM10 juta yang diagihkan kepada penuntut asnaf dan B40 sepanjang tahun lalu. - Foto UMK
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengagihkan pelbagai bentuk sumbangan dengan nilai keseluruhan RM10 juta kepada penuntut asnaf dan daripada keluarga B40 sepanjang tahun lalu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Razli Che Razak berkata, sumbangan merangkumi wang tunai, bantuan kotak makanan, peranti dan pengurangan kos yuran pengajian.

Menurutnya, sumbangan bertujuan memastikan kebajikan penuntut terus terjaga dan dibela sekali gus memastikan kualiti kehidupan serta pembelajaran mereka dalam keadaan terbaik.

Sumbangan diagihkan kepada penuntut UMK dan diberikan dalam bentuk peranti seperti komputer riba. - Foto UMK
Sumbangan diagihkan kepada penuntut UMK dan diberikan dalam bentuk peranti seperti komputer riba. - Foto UMK

“Agihan sumbangan dilakukan dengan memberi keutamaan kepada penuntut yang kurang berkemampuan dan dalam kategori keluarga B40.

“Dana bantuan ini diperoleh hasil sumbangan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), UMK sendiri dan penyumbang daripada agensi lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Agrobank, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) serta persendirian," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUMK) 2021/2022 dan Penyerahan Bantuan kepada Pelajar Asnaf serta B40 UMK di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini.

Watikah kepada 27 ahli disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan hadir sama, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razli berkata, seramai 139 pelajar UMK yang terkesan akibat bencana banjir di seluruh negara setakat 14 Januari lalu menerima bantuan berjumlah keseluruhan RM45,930.

Katanya, selain sumbangan yang diagihkan dalam bentuk wang tunai, bantuan kotak makanan dan peranti, UMK juga membantu memberikan perkhidmatan pembersihan kawasan sekitar rumah keluarga penuntut yang terjejas akibat banjir.

Dalam perkembangan berkaitan MPPUMK, Razli berkata, majlis diadakan bagi mengesahkan pelantikan calon yang berjaya dalam Pengundian Pemilihan MPPUMK pada 13 Januari lalu.

“Secara keseluruhan proses pengundian pilihan raya kampus UMK yang diadakan secara dalam talian berjalan lancar bagi merebut sembilan kerusi umum serta 18 kerusi fakulti.

“Saya mengucapkan tahniah kepada barisan ahli MPPUMK yang terpilih pada sesi kali ini,” katanya.