'In-Car Radar', 'iCOPS' kesan pesalah trafik sempena Tahun Baharu Cina

Razarudin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Jejantas Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS hari ini. - Foto Bernama
Razarudin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Jejantas Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan pengesan had laju 'In-Car Radar' dan Sistem Kompaun Dalam Talian Pintar (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik dalam Op Selamat sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, kelengkapan yang dipasang dalam kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) itu dapat mengesan kelajuan sesebuah kenderaan dan mengenalpasti individu yang mempunyai saman serta waran tangkap trafik.

"PDRM mempraktikkan tindakan penguatkuasaan secara digitalisasi menggunakan alat kamera pengesanan had laju 'In-Car Radar' di sepanjang laluan lebuh raya bagi memastikan pengguna mematuhi had kelajuan.

"Begitu juga iCops digunakan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik, termasuk kenderaan yang terlibat dalam kes jenayah," katanya ketika merasmikan Op Selamat ke-17 di Restoran Jejantas, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Op Selamat akan bermula 28 Januari sehingga 6 Februari dengan bertemakan 'Rumah selamat, selamat sampai ke destinasi'.

Katanya, objektif utama operasi tersebut adalah pencegahan jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya.

"Seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen akan digerakkan bagi tujuan rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan pemantauan sepanjang tempoh perayaan.

"Dalam pada itu, kerjasama masyarakat terhadap langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah dan keprihatinan jiran tetangga amat diharapkan bagi menjayakan operasi ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Razarudin berkata, orang ramai digesa supaya memaklumkan kepada PDRM perancangan cuti sebelum pulang ke kampung untuk memudahkan tugas pemantauan.

"Borang maklumat balik kampung boleh diperoleh di balai berhampiran atau dimuat turun melalui portal rasmi PDRM dan pemakluman juga boleh dibuat dengan menghubungi hotline 999 atau menerusi aplikasi Volunteer Smart Patrol (VSP)," ujarnya.