Kebenaran berpolitik: Kerajaan perlu keluarkan garis panduan jelas

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar kerajaan mengeluarkan pekeliling atau garis panduan yang jelas berhubung kebenaran berpolitik dalam kalangan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia bertujuan memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan seperti salah guna kuasa selain mengelakkan orang awam membuat tuduhan tidak berasas.

“Ceupacs menyambut baik langkah kerajaan untuk membenarkan guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk terlibat aktif dalam aktiviti politik namun pekeliling yang jelas mengenai perkara ini perlu dibentangkan terlebih dahulu.

“Kebenaran tersebut pada dasarnya adalah munasabah memandangkan ketika ini remaja berusia seawal 18 tahun pun bakal diberikan hak untuk terlibat dalam pilihan raya umum.

“Walaupun diberikan kebenaran untuk berpolitik, keutamaan yang perlu didahulukan oleh semua penjawat awam adalah tugas hakiki mereka masing-masing terutama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada semua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu turut melibatkan petugas Kemas bebas untuk berpolitik.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya turut berharap kebenaran berpolitik ini tidak menjadikan guru-guru, kakitangan Kemas atau penjawat awam lain diarahkan bekerja untuk politik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya bimbang jika kebenaran tersebut disalah guna pihak-pihak tertentu sehingga menjadikan penjawat awam menjadi alat politik ataupun diugut.

“Perkara ini pernah terjadi terutama melibatkan kakitangan Kemas yang pernah dituduh membantu kerajaan terdahulu sedangkan setiap tugas yang dilakukan mereka dilakukan dengan profesional dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua penjawat awam agar berpada-pada dalam melibatkan diri dengan aktiviti politik walaupun dibolehkan dari segi undang-undang.

“Keutamaan yang harus didahulukan adalah penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Parti-parti politik juga dinasihatkan tidak menjadikan penjawat awam sebagai alat untuk kepentingan politik masing-masing kerana perkhidmatan awam perlu bergerak secara profesional walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza,” katanya.