X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Tujuh pemuisi harumkan nama negara

Dari kiri: Harlym, Mohd Shareezad, Zalina, Radzuan, Marzelan, Zaki dan Zainatul Shuhaida.
A
A

PEMBABITAN tujuh orang pemuisi tempatan mewakili Malaysia dalam Festival Sastera Antarabangsa Panorama 2022 atau Panorama International Literature Festival (PILF) 2022 menjadi kebanggaan tidak ternilai buat para peserta program berprestij tersebut.

Peserta-peserta terlibat ialah Datuk Dr Radzuan Ibrahim, Dr Zainatul Shuhaida Abdul Rahman, Harlym Yeo, Zalina Ahmad, Marzelan Md Jusoh, Shareezad Satad dan Zaki Halim.

Festival anjuran Yayasan Penulis Antarabangsa atau Writers Capital International Foundation (WCIF) dari India itu berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 30 Januari bertujuan untuk menyebarkan nilai kemanusiaan dan pertukaran budaya melalui saluran program kesenian dan kesusasteraan.

Pengerusi PILF yang juga seorang penulis dan penyair dari India, Profesor Dr Preeth Nambiar berkata, festival bertemakan Kebahagiaan Jiwa atau Shoonya, Celestial Void itu bertujuan menghidupkan semula bidang kesusasteraan metafizik yang telah dilupakan oleh generasi pada zaman kini.

“Melalui penganjuran PILF 2022 ini, kami berharap dapat memperkenalkan cabang sastera yang unik ini kepada kelompok pengkarya dalam kalangan generasi baharu,” ujar Preeth.

Menurut Setiausaha Agung WICF, Profesor Irene Doura-Kavadia yang juga merupakan seorang penulis, penyair, pendidik, pengurus dan aktivis budaya dari Greece, dalam tempoh penganjuran selama sebulan festival itu diadakan, ia membabitkan ratusan penulis dari 54 buah negara untuk mempersembahkan karya mereka.

Katanya, ia sekali gus mencatat rekod dunia oleh Assist World Records – Research Foundation sebagai festival sastera antarabangsa dalam talian yang terpanjang khusus untuk menyebarkan nilai kemanusiaan dan pertukaran budaya.

Jelas beliau, karya-karya para peserta akan disalurkan ke pelbagai platform media sosial dan laman sesawang untuk tatapan khalayak di seluruh dunia.

Di samping itu, pelbagai program seni dan sastera dianjurkan seperti simposium, syarahan pakar, pertukaran budaya, deklamasi puisi dan banyak lagi, dalam mana secara kolektifnya akan menjadikan PILF sebagai festival global yang mantap untuk para penulis dan peminat sastera.

Dr Zainatul Shuhaida ialah seorang Pensyarah Fakulti Filem Teater dan Animasi daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan dilantik oleh penganjur PILF untuk menjadi penyelaras serta kurator program bagi mengumpul wakil dari Malaysia.

“Daripada bergerak secara solo, kali ini saya lebih bersedia dan selesa untuk beraksi secara beramai-ramai dengan para pemuisi pelbagai latar belakang dalam memperkenalkan bahasa ibunda, seni dan budaya tanah air di persada global, selain dapat memecah rekod dunia sambil menyampaikan mesej kemanusiaan sejagat,” jelas beliau.

Persada global

Berdasarkan pengalaman dan kemahirannya dalam mengendalikan program dalam talian bercorak penghayatan puisi secara bulanan sejak dua tahun lalu, Harlym Yeo turut terpilih sebagai salah seorang pemuisi yang juga dipertanggungjawabkan sebagai moderator dan pengemudi acara festival antarabangsa itu.

Beliau menyampaikan sajak ciptaan sendiri berjudul Warisan Merdeka dengan gaya, ekspresi dan kaedah penyampaian tersendiri yang memukau penganjur dan penonton jagatraya.

“Yang paling istimewa buat saya apabila kurator program memberi kepercayaan dengan kebolehan saya mengendalikan acara berprestij ini, sekali gus menyediakan ruang kepada kita untuk bersama-sama mengantarabangsakan puisi Melayu ke persada global,” jelas Harlym atau nama Cinanya, Yeo Hock Lim.

Turut bersama dalam program festival itu ialah Dr Radzuan atau nama pena Wanrazuhar yang bersajak dengan karya sendiri berjudul Insan Berjiwa Besar.

Beliau merupakan seorang peguambela dan peguam di Mahkamah Tinggi Malaysia selain memegang jawatan Presiden dalam Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi).

“Festival antarabangsa ini adalah pengalaman yang sangat bermakna kepada semua penyair yang mengambil bahagian kerana dapat memperkenalkan dan memartabatkan puisi Melayu di arena antarabangsa,” ujar Radzuan.

Wakil penulis dan pemuisi dari negeri Kedah, Zalina atau Zaleena E-naa mendeklamasikan karya beliau sendiri berjudul Pada Tanah Waadat Ini.

“Semoga program seumpama ini diteruskan oleh persatuan lain di Malaysia atau negara-negara luar agar lebih terbuka kepada lebih banyak penyertaan. Dengan ini para penulis dapat mengenali karya penulis daripada pelbagai latar belakang, negara dan budaya,” jelas beliau.

Pegawai Waran Satu daripada Kementerian Pertahanan Malaysia, Marzelan atau nama penanya Perindu Seni juga turut terlibat membaca puisi nukilan sendiri bertajuk Benih Warisan.

“Saya berasa sangat terharu, teruja, dan bangga atas pemilihan sebagai salah seorang wakil dalam festival sebegini, apatah lagi ini adalah julang kali saya menyertai program yang jumlah penyertaan negara yang begitu banyak dari sepelosok dunia,” kata Marzelan.

Kesan menakjubkan

Pegawai kebudayaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berasal dari Kelantan, Mohd Shareezad atau Ezad SS pula mendeklamasikan sajak karya Mohilis bertajuk Hidup Itu Suatu Pilihan dengan persembahan yang meninggalkan kesan menakjubkan untuk paparan warga dunia.

“Jadikan sastera sebagai wadah untuk kita mencintai seni dan warisan. Kita harus menjadi pewaris yang melakukan inovasi dan improvisasi dalam dunia sastera seiring dengan kemodenan hari ini,” pesan beliau.

Seorang lagi pemuisi, Zaki atau nama sebenarnya Mohamad Zaki Abdul Halim merupakan Munsyi Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB).

Beliau berasa teruja dan bangga apabila turut tersenarai dalam kalangan tujuh pemuisi yang mewakili Malaysia kerana menganggap dirinya masih baharu dalam dunia kepenyairan negara jika dibandingkan dengan pemuisi lain.

“Festival antarabangsa ini ada kelainannya dari segi kesediaan penganjur yang meraikan deklamator mendeklamasi dalam bahasa kebangsaan masing-masing sementelah penganjurannya melibatkan Unesco,'' ujar Zaki.

Zaki memilih sajak ciptaan Sasterawan Negara, Usman Awang yang bertajuk Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya dan sajak karya sendiri berjudul Yang Permai Itu Sebuah Saloma.

Keterujaan dan kebanggaan ketujuh-tujuh wakil Malaysia terbukti dengan komitmen dan initiasif dari segi persediaan dan penyampaian melalui pertunjukan masing-masing.

Kesungguhan yang ditonjolkan oleh wakil-wakil Malaysia itu termasuk persediaan bahan promosi edisi tempatan, latihan pra-acara, latar Zoom, kelancaran dan kecekapan pengendalian acara serta bersikap profesional.

Ia mendapat pujian dan sanjungan daripada penganjur diwakili oleh Profesor Irene yang mengikuti acara itu dari awal hingga selesai.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!