PRN Johor: UMNO belum terima permohonan Pas untuk kerjasama

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO masih belum menerima permohonan Pas untuk bekerjasama dengan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada permintaan secara rasmi daripada Pas atau parti lain yang bukan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

"Lihat kepada apa yang berlaku dalam PRN di Melaka akan dilakukan di Johor (UMNO bertanding solo)," katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal di sini, pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Jumaat bahawa Pas akan mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama sebagai persediaan menghadapi PRN Johor sekiranya berlaku dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ahmad memberitahu, seramai 700,000 pengundi baharu di Johor yang berusia 18 hingga 20 tahun dan berusia 21 ke atas akan mengundi pada PRN Johor.

Katanya, situasi tersebut merupakan satu cabaran bukan sahaja kepada UMNO tetapi semua parti politik termasuk pembangkang walaupun sebelum ini mendakwa pengundi baharu itu akan memihak kepada mereka.

"Secara keseluruhan terdapat 5.7 juta pengundi baharu di seluruh negara dan ini merupakan cabaran kepada semua parti politik. Tidak benar dakwaan pembangkang pengundi muda akan mengundi mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Artikel Berkaitan: