Kebenaran berpolitik: Guru harus bijak jaga profesionalisme

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Guru-guru yang diberikan kebenaran berpolitik haruslah bijak menjaga profesionalisme keguruan mereka, malah tidak mencampur adukan dengan kepentingan politik kepartian.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpendapat, satu kenyataan rasmi mestilah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kadar segera.

Katanya, ia penting bagi memastikan semua pihak seperti pentadbir sekolah, guru-guru dan para ibu bapa faham implikasi kebenaran berpolitik di kalangan guru kepada pendidikan anak-anak mereka.

“Sebagai pemerhati pendidikan negara, saya menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan para guru terlibat dalam politik.

“Sejarah negara kita membuktikan golongan guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris telah banyak menyumbang dalam bentuk penulisan di akhbar untuk memberikan kesedaran pada kejayaan rakyat menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan negara.

“Selain itu, golongan guru adalah barisan hadapan dalam kejayaan memansuhkan pelaksanaan Malayan Union pada tahun 1948,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anuar turut mencadangkan supaya agensi berkaitan perkhidmatan awam melakukan penambahbaikan kepada garis panduan termasuklah melakukan semakan kepada dokumen Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib-P.U.(A) 395.

“Ini sebagai panduan para guru yang ingin terlibat aktif dalam politik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada semua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bebas untuk berpolitik.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui pejabat Ketua Setiusaha KPM telah mengeluarkan satu surat pekeliling arahan yang membatalkan kelulusan penglibatan penjawat awam di dalam politik bagi warga KPM termasuklah para guru.

Justeru, keputusan terbaru pihak kerajaan tentulah menimbulkan tanda tanya kepada warga pendidik kerana sebelum ini tidak ada sebarang kenyataan dari mana-mana pihak yang membantah larangan berpolitik di kalangan guru.