Kebakaran di Pulau Burung: Bantuan RM1,000 kepada keluarga terjejas

Kon Yeow (tengah) pada sidang akhbar pada Sabtu.
Kon Yeow (tengah) pada sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan bantuan RM1,000 kepada 90 keluarga dari dua buah kampung yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata bantuan bencana itu akan disalurkan pada minggu depan bagi membantu meringankan beban yang mereka hadapi ekoran arahan untuk mengosongkan rumah yang dikeluarkan pada Ahad lalu.

Menurutnya, mereka yang terlibat ialah 38 keluarga di Ladang Byram dan 52 keluarga lagi penduduk di Kampung Kebun Baharu, di sini.

"Kita berharap dengan bantuan yang diberikan akan meringankan beban dan membantu mereka atas kesulitan yang dihadapi.

"Mungkin bantuan ini akan menampung sedikit perbelanjaan dan kegunaan harian yang diperlukan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, kira-kira 400 penduduk yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini akan dipindahkan sementara atas faktor keselamatan.

Tindakan itu diambil susulan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, udara di kawasan itu mengandungi gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Artikel Berkaitan:

Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 16.2 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar keluasan 6.5 hektar.

Sementara itu, Kon Yeow berkata dalam mesyuarat pengurusan bencana yang diadakan pada pagi Sabtu turut memutuskan untuk membenarkan sembilan daripada 10 sekolah yang ditutup sebelum ini dibuka semula bermula Isnin depan.

Jelasnya, setakat ini Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram yang terletak berhampiran dengan tapak pelupusan itu sahaja yang tidak dibenarkan beroperasi lagi.

Selain itu, katanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong; SJKT Nibong Tebal; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa; SK Keledang Jaya; SJKT Ladang Changkat; SMK Methodist, SK Methodist dan SK Nibong Tebal akan dibuka seperti biasa.