Bekalan dadah untuk sejuta penagih dirampas

Hazani (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas di Kampung Padang Embun, Pasir Mas pada Jumaat.
Hazani (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas di Kampung Padang Embun, Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya merampas bekalan dadah untuk sejuta penagih bernilai RM27.36 juta di Kampung Padang Embun, di sini pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, rampasan terbesar bagi tahun 2022 setakat ini itu melibatkan 300 kilogram (kg) syabu bernilai RM10.8 juta, 1.6 juta biji yaba bernilai RM16 juta dan 200kg ganja bernilai RM500,000.

"Kesemua dadah ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dipasarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia. Bertindak atas maklumat pada jam 11.45 pagi anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu sedang melaksanakan tugas rondaan.

"Apabila sampai berhampiran lampu isyarat Kampung Lati pihak kami telah mengesan sebuah Toyota Hilux warna silver yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Menurutnya, anggota bertugas telah mengarahkan pacuan empat roda tersebut untuk berhenti namun pemandu terus memecut laju.

Hazani (kiri) menunjukkan 17 bungkusan plastik berwarna ungu dan merah mengandungi dadah yang ditemui di dalam Toyota Hilux.
Hazani (kiri) menunjukkan 17 bungkusan plastik berwarna ungu dan merah mengandungi dadah yang ditemui di dalam Toyota Hilux.

Sehubungan itu katanya, anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan semasa berada di atas Jambatan Sultan Ismail Petra bertujuan menghentikan pacuan empat roda itu.

Artikel Berkaitan:

Akibat tembakan tersebut, kenderaan terbabit telah terbabas dan jatuh ke dalam tali air bertempat di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Embun, di sini.

Hazani berkata, suspek kemudian telah bertindak melarikan diri dengan bantuan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf Gti berwarna kelabu dipandu seorang lelaki.

"Hasil pemeriksaan di dalam Toyota Hilux telah menjumpai 17 bungkusan plastik berwarna ungu dan merah di bahagian tempat duduk penumpang bahagian belakang serta juga ruangan tempat menyimpan barang bahagian belakang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi syabu, pil kuda dan ganja," katanya.

Menurutnya, susulan itu polis sedang mengesan dua lelaki tersebut bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan dadah.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJNK) di talian 012-2087222.