Pengurus pentadbiran jadi mangsa tipu, rugi lebih RM6,000

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A
KUANTAN - Taktik sindiket penipuan membuat panggilan memaklumkan mangsa mempunyai kes tunggakan cukai dan dikehendaki polis kerana terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram terus berhasil.

Terbaharu, seorang lelaki di daerah ini menjadi mangsa penipuan itu hingga kerugian lebih RM6,000 pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintandan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 31 tahun yang bertugas sebagai pengurus pentadbiran menerima panggilan daripada 'pegawai' Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan tentang tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas namanya.

Menurutnya, mangsa diminta menjelaskan tunggakan cukai berjumlah RM17,600 bagi mengelak tindakan.

"Mangsa yang menafikan kaitannya dengan syarikat itu telah dirujuk kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan melalui sambungan panggilan untuk tindakan selanjutnya.

"Seperti biasa, anggota tersebut kononnya membuat semakan dan mendapati mangsa turut dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang mula panik dan bimbang berdepan tindakan undang-undang diarahkan menyerah maklumat perbankan internet untuk tujuan siasatan.

"Setelah semua maklumat itu diserahkan, mangsa kemudian diminta memindahkan semua wangnya ke dalam akaun tersebut.

"Mangsa berjaya diperdayakan apabila memasukkan RM6,600 ke dalam akaun itu tanpa menyedari perbuatan itu akan merugikan dirinya," katanya.
Artikel Berkaitan:


Tambah beliau, selepas selesai dalam urusan itu, mangsa membuat semakan akaun bank sebelum mendapati wang yang dimasukkan telah lesap.

"Syak telah ditipu mangsa membuat laporan di Balai Polis Gebeng pada hari yang sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.