Laluan masuk ke Jalan Bangsar sesak

Situasi terkini di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur berikutan penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini pada Sabtu.
Situasi terkini di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur berikutan penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalan Bangsar menuju ke Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini sesak ekoran lencongan yang dilakukan pihak polis susulan penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, jam 11 pagi ini.

Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 10.30 pagi mendapati beberapa kenderaan terpaksa berhenti dalam tempoh agak lama berikutan lencongan laluan berkenaan.

Turut dikesan beberapa pemandu kereta yang merungut akibat penganjuran himpunan terbabit hingga mengakibatkan banyak laluan masuk ke ibu negara ditutup.

Kenderaan teksi yang kebiasaannya berada di LRT Bangsar juga tidak kelihatan.

Jalan Bangsar, Kuala Lumpur sesak disebabkan penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini pada Sabtu.
Jalan Bangsar, Kuala Lumpur sesak disebabkan penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini pada Sabtu.

Selain itu, difahamkan di pusat bandar beberapa laluan juga dilaporkan sesak antaranya Bulatan Dato Onn menuju ke Bank Negara, Jalan Sultan Ismail berdekatan Bangunan Sime Darby, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan beberapa laluan menuju ke Jalan Bangsar, di dilencongkan susulan penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki yang ditukar ke lokasi berkenaan malam tadi.

Lencongan jalan itu membabitkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar bermula jam 7 pagi tadi hingga selesai perhimpunan berkenaan.

Sinar Harian turut melaporkan penutupan enam jalan menghala ke pusat bandar serta 24 stesen tren LRT, monorel, KTM bermula jam 7 pagi tadi.