Isu kuari batu di Gunung Inas, tunggu laporan PTG: MB

Laporan Sinar Harian pada 9 Januari lalu. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
Laporan Sinar Harian pada 9 Januari lalu. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
A
A
A

ALOR SETAR - Keluhan penduduk dari enam buah kampung di Kupang, Baling yang bimbang projek kuari batu Gunung Inas akan menjejaskan bekalan air bersih ke perkampungan mereka, dalam perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, buat masa ini, pihaknya masih menunggu laporan berkaitan projek kuari batu kapur itu selepas penduduk membuat bantahan pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan menyerahkan laporan berkaitan dan kerajaan negeri bersedia mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengabaikan kepentingan penduduk.

“Saya belum terima laporan PTG lagi, saya akan beri kenyataan dalam masa terdekat selepas meneliti perkara yang dibangkitkan itu. Perkara itu dalam pengetahuan saya selepas saya baca bantahan mereka yang dilaporkan media,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Pada 9 Januari, kira-kira 1,500 penduduk mengadakan perhimpunan aman membantah pencerobohan syarikat kontraktor memasuki kawasan tadahan air bersih untuk melakukan kerja-kerja mencari gali batu kapur di Gunung Inas.

Projek kuari batu itu didakwa mula beroperasi sejak sebulan lalu menyebabkan penduduk membuat bantahan awal bagi mengelakkan projek berkenaan menjejaskan bekalan air bersih yang disalurkan ke enam buah kampung berhampiran.

Kawasan tadahan air sejauh tiga kilometer itu digunakan oleh penduduk Kampung Kemangi, Kampung KEDA Kemangi, Kampung Kuala Kuang, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Bendang Baru dan Kampung Padang Dan sejak 1991.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebelum ini menerima memorandum bantahan penduduk dan akan memanjangkannya kepada Menteri Besar Kedah bagi menghentikan kerja-kerja cari gali demi kepentingan penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

“Saya belum terima memorandum berkenaan namun perkara ini dalam perhatian saya,” kata Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.