Inflasi negara meningkat 3.2 peratus

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Harga Pengguna (IHP) yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi di Malaysia meningkat 3.2 peratus pada Disember tahun lalu kepada 124.5 berbanding 120.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan tersebut juga melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021.

Menurutnya, kenaikan itu didorong oleh peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (3.2 peratus); pengangkutan (9.5 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.4 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.7 peratus) serta restoran dan hotel (1.3 peratus).

"Makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada perbelanjaan isi rumah meningkat sebanyak 3.2 peratus pada Disember 2021, di mana kedua-dua indeks harga makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat 4.1 peratus dan 2.2 peratus.

"Peningkatan indeks harga kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol disebabkan oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi bagi penyediaan makanan di rumah seperti daging, ayam, susu, keju dan telur, sayur-sayuran, minyak dan lemak serta ikan dan makanan laut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata, hujan lebat yang berlaku di beberapa negeri seperti di Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sepanjang Disember 2021 telah mendorong kenaikan harga makanan terutamanya sayur, ikan dan makanan laut.

Beliau menjelaskan, kenaikan itu adalah disebabkan oleh kesan langsung daripada kekurangan bekalan berikutan faktor cuaca tersebut.

"Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan bencana banjir serta tanah runtuh yang terjadi di negeri pengeluar sayur seperti di Pahang, turut menyumbang kepada kenaikan harga ini dan secara langsung menyumbang kepada kenaikan inflasi negara.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diumumkan oleh kerajaan sepanjang 7 hingga 31 Disember 2021 telah meredakan inflasi kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata, peningkatan indeks harga kumpulan pengangkutan yang lebih perlahan berbanding November adalah disebabkan oleh harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 pada Disember 2020 yang telah naik kepada RM1.74 seliter sekali gus telah mengecilkan perbezaan antara harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada Mac 2021 (RM2.05).

"Kesemua negeri menunjukkan peningkatan IHP di mana lapan negeri melepasi paras inflasi nasional 3.2 peratus. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu (3.9 peratus) manakala, Sarawak (2.5 peratus), Kuala Lumpur (2.3 peratus) serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (2 peratus) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah," katanya.

Mohd Uzir turut menambah bahawa inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.2 peratus pada Disember 2021 berbanding Disember 2020.

"Penamatan diskaun elektrik di bawah pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang berakhir pada September memberi impak kepada inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000.

"Inflasi teras mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu serta barangan kawalan oleh kerajaan. Inflasi teras telah mencatatkan peningkatan 1.1 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya.

Beliau menjelaskan, peningkatan kadar inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia dan merupakan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara lain di seluruh dunia.

"Kadar inflasi di Amerika Syarikat meningkat kepada tujuh peratus pada Disember 2021, tertinggi sejak Jun 1982. Tenaga merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan pada Disember 2021.

"Sementara itu, kadar inflasi di zon Euro telah meningkat untuk bulan keenam berturut-turut kepada rekod tertinggi sebanyak lima peratus pada Disember 2021," katanya.