X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

BAM gantung Lee Zii Jia, Goh Jin Wei dua tahun

Zii Jia - Foto AFP
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang mahu berhenti daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terpaksa membayar harga yang tinggi apabila badan itu memutuskan untuk menggantungnya daripada bermain dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh dua tahun.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood berkata pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun, bermula 18 Januari.

Jahaberdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan BAM berkata persatuan itu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain nombor tujuh dunia itu, sejak beliau menghantarkan surat peletakan jawatannya pada 11 Januari.

"Bagaimanapun Zii Jia tetap dengan keputusannya, dan pada satu daripada perbincangan tersebut berkata yang beliau tidak dapat tahan tekanan berada di dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup ditetapkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), disamping memberikan beberapa terma, yang kami tolak.

"Terma tersebut adalah untuk beliau mempunyai pasukan kejurulatihannya dan kakitangan sokongannya sendiri, merancang kejohanannya sendiri dan untuk mempunyai penajanya sendiri. Kami dengan berat hati membuat keputusan sukar ini demi kepentingan negara dan kesan kewangan, selepas membimbing pemain ini selama 11 tahun,” katanya dalam satu sidang media di ABM di sini hari ini.

BAM juga membuat keputusan untuk mengenakan tindakan kepada bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, dengan hukuman yang sama bermula 31 Oktober 2021.

Untuk bermain dalam sebarang kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seseorang pemain itu perlu didaftarkan menerusi persatuan badminton kebangsaan.

Bagaimanapun Jahaberdeen berkata, pada masa ini BAM tidak bercadang untuk mengenakan denda kepada kedua-dua pemain tersebut.

Jahaberdeen berkata pemain-pemain itu boleh membuat rayuan pada bila-bila masa, manakala pintu untuk mereka kembali kepada BAM juga masih terbuka.

Sebelum ini BAM telah menggantung pemain seperti Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana meninggalkan kem latihan negara. Bagaimanapun Ee Wei kemudiannya menyertai semula BAM. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!