RM15.1 juta bantuan BPBKA kepada mangsa banjir NS

Mahdzir (tiga dari kiri) menyerahkan BPBKA kepada mangsa banjir di DUN Sri Tanjung.
Mahdzir (tiga dari kiri) menyerahkan BPBKA kepada mangsa banjir di DUN Sri Tanjung.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM15.1 juta untuk Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas (BPBKA) kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Sembilan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan wang tunai sebanyak RM2,500 itu diberi kepada ketua isi rumah dan merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan beban mereka yang terkesan.

"Proses penyaluran bantuan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri melalui pejabat-pejabat pembangunan negeri.

"Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung di Port Dickson, seramai 305 yang terkesan dengan banjir baru-baru telah menerima bantuan (BPBKA) hari ini (Jumaat)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian BPBKA DUN Sri Tanjung di sebuah dewan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak RM8 juta disalurkan kementeriannya untuk kerja-kerja membaik pulih dan membina rumah baharu serta infrastruktur yang rosak akibat banjir di Negeri Sembilan.

Selain itu kata Mahdzir, kementeriannya melalui agensi seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Giat Mara sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumah dan membina rumah baharu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Jelas beliau, pihak kontraktor yang dilantik diberi tempoh antara empat bulan sehingga enam bulan untuk menyiapkan projek.

Mengenai projek membina semula atau membaik pulih jalan perhubungan desa atau jalan kampung yang rosak akibat banjir, Mahdzir berkata, sebanyak RM37.1 juta diperuntukkan melibatkan sebanyak 356 projek di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingat dalam minggu ini kita akan muktamadkan ikut negeri dan Insya-ALLAH dalam minggu depan kita boleh melantik kontraktor," ujarnya.

Selain itu katanya, sebanyak RM35 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan membina kemudahan 394 ameniti sosial yang terkesan akibat banjir.