X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022
Hamidin
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin diminta memberikan jawapan yang telus ketika membentangkan laporan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya pada Jumaat.

Hamidin juga digesa ‘lebih terbuka’ dalam mendedahkan kemerosotan prestasi Harimau Malaya yang tersingkir seawal peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu.

Bagi Pendidik, Jurulatih dan Pencari Bakat Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Datuk Richard Scully, beliau berharap jawapan yang keluar daripada mulut Hamidin nanti tidak menimbulkan lagi prasangka buruk dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

“Harapan saya laporan badan siasatan bebas itu perlu diterangkan secara terperinci serta penjelasan yang dapat diterima pakai. Sebab peminat sekarang bukan macam dulu, mereka sudah semakin bijak.

“Kalau ada pihak yang didapati bersalah beritahu sahaja dan jangan sorokkan perkara tersebut. Kalau mereka masih mahu menyorok maklumat, saya rasa perkara ini tidak akan selesai.

“Saya rasa kita semua mahu melihat bola sepak negara kita maju ke hadapan. Kalau salah... minta maaf. Tindakan itu lagi bagus dan akan dihormati oleh orang ramai,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan laporan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya telahpun siap dan akan dibentangkan pada Jumaat.

Malah, Hamidin dalam sidang media Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya baru-baru ini memaklumkan sedia menjawab segala isu terutama berkaitan prestasi Harimau Malaya pada Jumaat.

Selain mengharapkan penjelasan telus, Richard juga berharap supaya FAM berani dalam menentukan tindakan susulan atau hukuman ke atas mana-mana pihak yang didapati ‘bersalah’ bagi menangkis sebarang persepsi negatif.

“Kalau tiada apa-apa tindakan susulan yang diambil FAM, jadi apa fungsi kita libatkan orang yang tidak ada kepentingan menganggotai badan siasatan ini.

“Jadi siapa yang bersalah dalam hal ini (kemerosotan prestasi Harimau Malaya) perlu bertanggungjawab dan dihukum tidak kira sesiapa orang itu,” tegasnya.

Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim atau dikenali sebagai Puaka Jerai yang terkenal dalam kalangan penyokong Kedah turut mempunyai pandangan sama dengan Richard.

“Sebagai peminat bola sepak, sudah tentu saya dan para penyokong di luar sana tidak mahu perkara yang sama berlaku berulang semula. Kami sayangkan bola sepak negara.

“Jadi saya berharap FAM dapat merungkaikan segala masalah yang berlaku dalam pasukan negara dan beri penjelasan yang munasabah berkaitan apa yang berlaku ketika Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

“Jangan sesekali berselindung di sebalik fakta. Sebab peminat dan penyokong sekarang tidak buta, mereka tahu apa yang FAM buat untuk pasukan negara,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!