Gangguan aplikasi PSP bukan serangan siber

Laporan Sinar Harian mengenai PSP yang mengalami masalah teknikal pada Rabu.
Laporan Sinar Harian mengenai PSP yang mengalami masalah teknikal pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Gangguan yang berlaku pada aplikasi sistem parkir pintar Penang Smart Parking (PSP) pada Rabu bukan disebabkan serangan siber, namun berpunca daripada masalah teknikal.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden yang berlaku dan telah mengarahkan syarikat pengendali aplikasi terbabit tangani segara masalah berkenaan.

Menurutnya, masalah itu diatasi segara dan baki e-dompet pengguna juga tidak terjejas.

"Saya ingin memaklumkan bahawa tiada sebarang unsur serangan siber berlaku terhadap sistem PSP malah rekod serta baki e-dompet pengguna juga tidak akan terjejas.

"Sekiranya ada pengguna yang berdepan masalah kompaun akibat kesilapan teknikal itu boleh berhubung terus dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atau Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui media di sini pada Khamis.

Jagdeep sebelum itu hadir ke majlis pemasangan sensor alat pengesan atau peranti elektronik internet pelbagai benda (IoT) jenis kamera litar tertutup (CCTV) di Bandar Perda di sini.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, sejak dua tahun yang lalu, sistem PSP dinaik taraf sehingga tujuh kali demi kebaikan pengguna dan ia masih mendapat sambutan yang baik setakat ini.

Beliau berkata, sehingga 18 Januari lalu sistem PSP telah dimuat turun sebanyak 746,687 kali dan digunakan secara aktif oleh 300,370 pengguna di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

PSP merupakan inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang bagi menggantikan sistem kupon dengan kesemua pembayaran dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang diperkenalkan sejak 2019.

Pada Rabu, ribuan pengguna aplikasi tersebut terkejut apabila mendapati baki akaun dalam e-dompet bertukar menjadi RM4.40 pada Rabu disebabkan oleh masalah teknikal, walaupun baki amaun mereka adalah lebih tinggi sebelum ini.

Syarikat HeiTech Padu Bhd yang membangunkan aplikasi itu dalam satu kenyataan pada Rabu, memohon maaf kepada pengguna atas sebarang kesulitan yang dihadapi dan syarikat tersebut telah mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini.