FAM perjelas dakwaan Jaami Qureshi tidak diberi peluang wakili negara

Jaami Qureshi
Jaami Qureshi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan bahawa bapa Jaami Qureshi, pemain remaja berpangkalan di England inginkan anaknya diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal.

FAM dalam kenyataan pada Selasa turut menafikan dakwaan kononnya badan induk itu bersikap sambil lewa dalam memastikan Jaami yang beraksi di posisi tengah bersama pasukan remaja Brighton & Hove Albion, diberi peluang mewakili pasukan negara.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, FAM menerusi Sekretariat Agungnya pada penghujung Jun 2020 telah mula berkomunikasi dengan bapa Jaami, Perviz Qureshi dan Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling.

Mohd Saifuddin Abu Bakar
Mohd Saifuddin Abu Bakar

Katanya, ia bagi membincangkan panggilan pemain yang akan menyambut hari jadi ke-18 bulan depan itu ke kem latihan pusat skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan menjelang Kejohanan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, yang kemudian kejohanan itu dibatalkan.

Namun, pada 10 Julai 2020 Perviz menyatakan keberatan membenarkan Jaami yang berdarah kacukan Iraq-Malaysia pulang ke tanah air disebabkan tempoh kuarantin yang panjang dan mencadangkan supaya FAM memulakan proses dokumentasi kewarganegaraan anaknya.

Perviz juga keberatan mengizinkan FAM mengirim petugas teknikal untuk menilai kemampuan Jaami.

"Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM tidak akan berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan Covid-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan," kata Mohd Saifuddin dalam kenyataan FAM.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada 14 Julai 2020 FAM sekali lagi telah berhubung dengan menyatakan tiga perkara penting perlu dimuktamadkan iaitu yang pertama Jaami harus hadir secara fizikal bagi memenuhi proses permohonan dokumentasi kerakyatan termasuk kad pengenalan dan pasport.

Kedua, Jaami perlu memberikan komitmen untuk memilih Malaysia dan bukan England jika kedua-duanya layak ke Piala Dunia B-20 2021 dan Jaami harus melalui proses ujian pemilihan dari sudut teknikal seperti seorang lagi pemain berpangkalan di luar negara, Wan Ahmad Kuzri Ahmad Kamal.

Bagaimanapun, pada 24 Julai 2020 Jaami sah tidak disenaraikan Ketua Jurulatih skuad B-19 negara ketika itu, Brad Maloney atas sebab tiada persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak berhubung tiga perkara penting tersebut.

"Adalah jelas bahawa di sebalik dakwaan FAM tidak mengambil sebarang tindakan, Sekretariat Agung mengambil inisiatif berhubung dengan keluarga Qureshi pada 2020 tetapi atas pelbagai faktor, usaha menjadikan Jaami rakyat Malaysia tidak tercapai.

"Memandangkan Jaami kini memilih kerakyatan Iraq, kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau," ujarnya. - Bernama