Harga makanan di Langkawi melampau?

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI yang mempunyai keluasan 478.48 kilometer persegi (km) merupakan destinasi percutian popular bagi mereka yang ingin menikmati keindahan pulau dan alam semula jadi.

Sejak kerajaan melaksanakan projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi pada 16 September lalu, sektor pelancongan di pulau berkenaan semakin rancak setelah lama terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, pada awal November lalu, Langkawi menjadi sebutan ramai dengan jolokan 'Siakap Seribu'.Ia bermula apabila seorang pengguna media sosial mendedahkan resit hidangan ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang berharga RM1,196.80 di sebuah restoran terapung di pulau terbabit.

Belum reda penangan ‘Siakap Seribu’, orang ramai dikejutkan dengan harga roti canai kosong berharga RM4 sekeping yang diadukan ke Persatuan Pengguna Kedah (Cake).

Kedua-dua isu berkenaan menjadi perdebatan sehingga ramai pengguna turut memuat naik resit makanan masing-masing di media sosial dan mendakwa harga makanan di Langkawi melampau.

Walaupun tidak tinggal di Langkawi, penulis yang merupakan orang Kedah yang selalu ditugaskan untuk membuat liputan di pulau legenda berkenaan.

Sejujurnya, bagi penulis, harga makanan di Langkawi masih sama seperti di Alor Setar. Contohnya, masih ada roti canai dijual RM1 sekeping di pulau berkenaan.

Kedai yang terletak kira-kira lima minit perjalanan dari Pantai Chenang menjadi lokasi wajib bagi penulis dan rakan-rakan menikmati sarapan pagi setiap kali ditugaskan ke sana.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, penulis tidak menafikan segelintir restoran di Langkawi menawarkan harga yang agak tinggi, namun bergantung kepada kos dan lokasi mereka.

Ia sebenarnya perkara biasa apabila kita berbelanja di mana-mana lokasi pelancongan. Cuma nasihat penulis dalam menghadapi situasi ini, pelancong perlu bijak merancang untuk berbelanja mengikut kemampuan poket sendiri.

Jika anda berasa mempunyai wang yang banyak untuk berbelanja di sana, tidak perlu begitu teliti, sebaliknya pilih sahaja mana-mana restoran yang anda inginkan tanpa merungut atau menularkan resit bayaran.

Jika anda seorang yang berhati-hati dalam berbelanja, seelok-eloknya buat perancangan terlebih dahulu sebelum tiba ke Langkawi.

Banyak restoran popular yang menjadi tumpuan, bukan sahaja di Pantai Chenang, malah di kawasan sekitar seperti Kedawang, Chandek Kura dan Padang Mat Sirat yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja perjalanan dari Pantai Chenang.

Mengambil contoh rakan penulis dari pantai timur yang sering bercuti di Langkawi, dia lazimnya membuat carian di media sosial lokasi tempat makan yang sedap dan berpatutan.

Sekarang semua di hujung jari, selain pengguna Facebook sendiri terdapat juga portal pelancongan turut mempromosikan restoran popular menawarkan harga berpatutan.

Seandainya anda tidak membuat perancangan awal, ringankan mulut bertanya kepada penduduk setempat. Mereka lebih arif dengan kawasan itu dan pasti berbesar hati untuk membantu anda.

Di restoran pula, sebelum memesan makanan seeloknya ambil sedikit masa untuk meneliti menu dan ditawarkan. Ini kerana, bagi makanan laut ia akan dijual secara timbang dan harga yang tertera adalah berdasarkan per gram.

Tidak salah sekiranya pelanggan memohon pihak restoran membuat kiraan terlebih dahulu untuk mengelakkan terlebih bajet.

Bagi pihak restoran pula, mereka perlu memaklumkan harga sebenar yang perlu dibayar oleh pelanggan supaya tidak timbul salah faham.

Bagaimanapun, sekiranya pelanggan merasakan peniaga meletakkan harga melampau, mereka berhak membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama dengan bukti.

Ini bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan dan mengambil tindakan selanjutnya.

* Roshila Murni Rosli ialah wartawan Sinar Harian