Tiada sebab mengapa perbincangan isu Azam dipersulitkan: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat tidak ada sebab mengapa Mesyuarat Khas Parlimen bagi membincangkan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dipersulitkan.

Ujar beliau, isu berkenaan wajar diberi perhatian kerana ia merupakan satu tuduhan terhadap Azam dan sepatutnya mendapat ruang untuk pembelaan dan penjelasan.

Susulan itu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara(PAC) mengenai permasalahan tersebut.

“Jadi tidak ada sebab mengapa hal ini dipersulitkan. Mulanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun melarang pendedahan (isu tersebut) kepada media.

“Ini bidang kuasa Yang Dipertua. Yang Dipertua tidak boleh diperalatkan untuk menyekat perbicaraan meluas kerana ini hal melibatkan kepentingan awam, semua orang tahu, orang di Langkawi pun tahu kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Bersama Presiden Pakatan Harapan (PH) anjuran PKR Cabang Langkawi, di Dewan Ho Peng, Kuah pada Isnin.

Pada 13 Januari, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah meminta Azam hadir ke mesyuarat jawatankuasa itu, Rabu depan.

Walau bagaimanapun, pada Isnin, Mesyuarat Khas Parlimen bagi membincangkan dakwaan pemilikan saham Azam yang dijadualkan pada 19 Januari telah ditangguhkan.

Artikel Berkaitan: