Lelaki tidur bawah landasan LRT dapat rumah baharu

Kasturi (kiri) bersetuju untuk menerima bantuan segera melalui inisiatif KPKT
Kasturi (kiri) bersetuju untuk menerima bantuan segera melalui inisiatif KPKT
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang tular di media sosial ditemui tinggal di bawah landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Seri Aman di sini berpindah ke kediaman baharu pada Isnin.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki terbabit, Kasturi Daim telah bersetuju untuk menerima bantuan segera melalui inisiatif KPKT.

"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah mengarahkan agar bantuan segera dapat disalurkan melalui inisiatif perumahan di bawah KPKT.

"Justeru itu, KPKT menawarkan sebuah rumah dan beliau menerima dengan hati terbuka, Insya-ALLAH, pasukan KPKT bersama-sama pasukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membantu proses perpindahan ke rumah baharu pada hari ini," kata kenyataan itu di laman Facebook KPKT pada Isnin.

Pada Ahad, Kasturi dilaporkan terpaksa tinggal di bawah landasan LRT berkenaan selepas tidak lagi mampu untuk membayar sewa rumahnya di Kapar kerana diberhentikan kerja.

Lebih malang, isteri Kasturi juga dilaporkan sedang sakit namun tidak dapat untuk meneruskan proses rawatan di hospital kerana masalah kewangan yang dihadapi mereka.

Dalam pada itu, KPKT turut berterima kasih kepada orang ramai yang berkongsi dan menyalurkan maklumat, serta hadir bagi membantu memudahkan urusan lelaki terbabit.

"KPKT turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang cakna dan ambil berat dalam keresahan dialami Kasturi dan isterinya, KPKT akan lakukan yang terbaik demi Keluarga Malaysia," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: