X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Import baharu Selangor tekad gegar Liga-M

Baha’ (kiri) dan Yazan memegang jersi Selangor FC pada Program Meet & Greet di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad. - FOTO: Bernama
A
A

PEMAIN pertahanan yang digelar ‘kereta kebal Jordan’, Yazan Al-Arab berhasrat untuk meningkatkan kualiti saingan Liga Malaysia (Liga-M) dengan kemasukannya ke Selangor FC.

Yazan memberitahu, walaupun menerima banyak tawaran untuk bermain di negara-negara Timur Tengah, dia tetap memilih untuk berhijrah ke skuad Gergasi Merah dan melihat perkara itu sebagai satu cabaran buat dirinya.

"Saya akan berusaha keras untuk tidak menghampakan penyokong dan cuba beri balik kepada peminat pasukan ini. Pada masa sama, saya juga ingin tukarkan persepsi pemain-pemain di sana (Liga Arab) mengenai liga di Malaysia.

"Melalui pengalaman ini, saya akan cuba membuka pintu untuk mereka dari liga Arab atau Timur Tengah untuk bermain di sini dan berharap ia akan meningkatkan mutu bola sepak di Malaysia,” katanya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Bekas pemain Al-Wehdat FC itu juga yakin untuk cepat menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak tempatan, dengan pengalaman luasnya bermain di pentas Asia seperti Liga Juara-juara Asia (ACL) dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Untuk saya menyesuaikan diri di sini saya rasa tiada masalah kerana cuaca, persekitaran dan keadaan padang semuanya adalah di standard yang sama dan tidak asing bagi saya,” jelasnya.

Pemain pertahanan tengah itu membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Jordan ketika berumur 21 tahun pada 29 Ogos 2017 dan sudah beraksi sebanyak 24 perlawanan antarabangsa setakat ini.

Sementara itu, rakan senegaranya yang turut menyertai skuad Merah Kuning, Baha' Abdelrahman tidak sabar untuk mempamerkan permainan terpuji pada perlawanan pembukaan Liga Super menentang juara Kuala Lumpur City (KL) FC pada 3 Mac.

Pemain tengah itu juga yakin umurnya yang mencecah 35 tahun tidak akan menjadi penghalang untuk menampilkan aksi terbaik.

"Pada usia ini, saya agak konfiden yang saya masih boleh bermain, kerana sejak empat tahun lepas saya telah bermain di luar negara, malah saya bermain dalam ‘Gulf Cup’, di mana peringkat yang lebih tinggi di Arab Saudi, Kuwait dan Qatar.

"Pada kami ini saya buat keputusan untuk ke rantau berbeza bagi dapatkan suasana berbeza dan usia hanyalah satu nombor, saya yakin yang saya mampu berikan yang baik untuk peminat Selangor,” katanya.

Terdahulu, Selangor FC mengumumkan pemain yang akan membarisi pasukan utama termasuk Herlison Caion, Samuel Somerville, Fazly Mazlan dan Zahril Zabri. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!